Mayat apabila terbiar berhari-hari apatah lagi terendam dalam air masin sudah tentulah berbau busuk bukan kepalang.
Hal ini membuatkan ada petugas menabur serbuk kopi dan kapur barus pada mayat mangsa nahas QZ8501 yang telah dinaikkan dari lautan untuk mengurangkan bau menyengat.
Malangnya, hal ini menyukarkan tugas Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) di Hospital Bhayangkara, Surabaya ketika melakukan proses identifikasi mayat hingga terbit arahan melarang perbuatan menabur serbuk kopi atau kapur barus pada mayat.
“Kita minta jangan taburkan kopi atau kapur barus. Walau tujuannya untuk menghilangkan bau tapi ia tidak sesuai untuk standard pengecaman,” kata Ketua Pasukan DVI Polis Daerah Jawa Timur, Budiyono pada Isnin.
Budiyono berkata, jenazah yang diletakkan serbuk kopi, kapur barus, bahan kimia dan tepung akan membuatkan mayat yang sudah berminyak jadi melekit dan tambah merosakkan mayat, sekaligus menyukarkan proses pengecaman.
“Ketika mayat yang ditabur serbuk kopi dibersihkan kemudiannya menggunakan air dan kapas, banyak kulit yang hilang dan rosak hingga menghilangkan informasi yang mungkin terdapat pada mayat,” katanya yang sudah mengeluarkan peringatan kepada petugas di lapangan.
Pasukan pencari dan penyelamat setakat ini sudah menaikkan 70 mayat penumpang dan kakitangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas di Laut Jawa, 28 Disember lalu.
Cuma satu mayat masih berada di Hospital Imanudin, Pangkalan Bun manakala 69 lagi telah diterbangkan ke Surabaya.
Daripada 69 mayat tersebut pula, 52 mayat berjaya dikenalpasti manakala 17 lagi masih dalam proses pengecaman di Hospital Bhayangkara. -MYNEWSHUB.CC
0 Response to "QZ8501: Petugas Ditegur Tabur Serbuk Kopi Pada Mayat"
Post a Comment