Mungkin dia bukan ludah, tapi halau lalat – polis

Lelaki terbabit merupakan pekerja sambilan yang baru mula bekerja dengannya lima hari lalu kerana mahu mengumpul wang secukupnya untuk pulang ke tanah air.
Ali Ahmad
PETALING JAYA: Siasatan awal polis mendapati pekerja gerai durian yang dikecam ramai itu mungkin bukan meludah ke dalam pek buah berkenaan, sebaliknya dia sekadar menghalau lalat.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad yang dipetik China Press sebagai berkata, polis sedang mencari lelaki dalam rakaman video yang disyaki meludah ke atas durian yang sedang dibungkusnya.
Beliau turut menggesa individu yang merakam video itu supaya tampil membantu siasatan polis.
Jelasnya, peniaga gerai durian itu telah dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan pada jam 1 pagi semalam.
Beliau berkata, pihaknya percaya peniaga terbabit tidak tahu mengenai kejadian itu dan lelaki dalam rakaman video berkenaan mungkin adalah pekerja warga Indonesia.
Ali berkata, peniaga warga Indonesia berusia 53 tahun yang mempunyai taraf penduduk tetap itu memaklumkan, lelaki terbabit merupakan pekerja sambilan yang baru mula bekerja dengannya lima hari lalu kerana mahu mengumpul wang secukupnya untuk pulang ke tanah air.
“Peniaga itu tidak tahu alamat rumah suspek dan polis sedang mencari lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu,” katanya pada majlis perasmian kereta peronda baru Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak semalam.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan tapak gerai durian terbabit telah dikosongkan, selepas wakil Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 4 kawasan berkenaan menasihatkan empat peniaga warga Indonesia menutup gerai mereka pada malam Rabu.
Ia bagi mengelakkan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang menjaja tanpa kebenaran.
Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Amir Fazlee Khalid yang dipetik akhbar itu berkata, peniaga terbabit pernah dikenakan tindakan minggu lalu atas kesalahan berniaga tanpa kebenaran, namun amaran berkenaan tidak diendahkan mereka.
Katanya, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, peniaga terbabit diminta menghentikan jualan dan beredar dari kawasan itu kerana ia terletak di kawasan perumahan.
Satu rakaman video selama 1 minit 48 saat mula tersebar luas sejak petang Rabu lalu menunjukkan seorang lelaki di sebuah gerai durian yang terletak di Taman Sri Gombak kelihatan seperti meludah ke atas durian yang sedang dibungkusnya.

0 Response to "Mungkin dia bukan ludah, tapi halau lalat – polis"

Post a Comment