231 Jenis Elaun Dalam Perkhidmatan Awam Yang Akan Ditambah Baik Selepas 1 Julai Tahun Ini



SARIKEI: Elaun wilayah yang dinikmati penjawat awam yang berkhidmat di Sarawak adalah antara antara 231 jenis elaun dalam perkhidmatan awam yang akan ditambah baik selepas 1 Julai tahun ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, penambahbaikan itu adalah selepas pelaksanaan 252 skim perkhidmatan sektor awam pada tarikh berkenaan. 
Sehubungan itu, beliau berkata, mereka tidak perlu risau dengan desas-desus kononnya elaun wilayah tersebut akan dimansuhkan.

"Kita nak elaun ini ditambahbaik sesuai dengan kompleksiti tanggungan semasa atau liabiliti yang ditanggung oleh penjawat awam yang berkhidmat di merata tempat seluruh negara sama ada di bandar, luar bandar atau pedalaman," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bicara umum bertajuk "Isu-isu Dalam Perkhidmatan Awam" pada seminar Perkhidmatan Awam yang dihadiri lebih 300 penjawat awam dari bahagian Sarikei dan Sibu di sini, semalam.

Menyentuh isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), beliau berharap kerajaan mengkaji semula kadar cukai itu sekiranya perolehan negara meningkat selepas pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) nanti.

Azih berkata, kajian semula itu penting untuk memastikan kadar GST tidak membebankan rakyat termasuk penjawat awam yang kini merasai kesan kenaikan harga barangan.

Katanya, Cuepacs melihat perolehan kerajaan daripada pelaksanaan GST mampu menggantikan kehilangan perolehan kerajaan dari industri petroleum dan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang telah dihapuskan.
"Dengan adanya GST ini kerajaan dapat meneruskan gaji, insentif dan kemudahan-kemudahan lain dinikmati penjawat awam selama ini," katanya.

0 Response to "231 Jenis Elaun Dalam Perkhidmatan Awam Yang Akan Ditambah Baik Selepas 1 Julai Tahun Ini"

Post a Comment