"Saya Memang Kerabat Diraja" - Fairus
PETALING JAYA: Datuk Seri Mohammad Fairus Khairuddin akhirnya tampil meleraikan misteri disebalik penggunaan gelaran "Yang Mulia Tunku" sejak hampir lima bulan lalu apabila mengakui dirinya berdarah raja.
Akui bekas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Pulau Pinang itu, beliau sememangnya berketurunan kerabat diraja Kedah melalui susur galur bapanya yang menggunakan gelaran 'Tunku Khairuddin Ibni Tengku Che Kama'.
Kata Mohammad Fairus, salasilah keluarganya adalah dari keturunan Almarhum Tuanku Sultan Sir Abdul Hamid Halim Syah Ibni Almarhum Tuanku Ahmad Tajuddin Mukarramsyah iaitu Sultan Kedah ke-25.
Sehubungan itu, tegas Mohammad Fairus, 40, beliau layak menggunakan gelaran “Yang Mulia Tunku’ di pangkal namanya.
“Memang nasab saya berketurunan diraja sebelah almarhum ayahanda saya. Jadi apa masalahnya dengan perkara itu? Semua orang ada nasab masing-masing.
“Orang kita kebanyakannya sudah tak peduli tentang nasab diri sendiri. Ikut cara barat, tak kenal mana hujung pangkal diri.
“Tapi bila ada orang lain yang menyegarkan dan memelihara nasab sendiri, timbul pelbagai sangkaan. Gunalah pemikiran yang rasional, adakah itu mengganggu sesiapa?” katanya.
Menerusi pengakuannya secara berterus-terang kepada mStar Online, Mohammad Fairus berkata, pemasyurannya sebagai kerabat diraja Kedah tidak menyalahi undang-undang.
"Kalau saya buat macam orang yang mengaku 'Sultan Melaka' tu, tiba-tiba bagi pingat kepada orang, mengaku diri sebagai Sultan Kedah, itu lainlah.
"Ini nasab saya, orang lain tak ada hak nak ganggu.
"Saya pun ada reputasi nak dijaga, takkan saya nak buat benda-benda yang merapu, mengaku nasab tanpa ada sebab," katanya.
Pada Selasa, mStar Online mendedahkan Mohammad Fairus yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini bergelar 'Yang Mulia Tunku Datuk Seri Panglima' dengan mendakwa dirinya berasal daripada keturunan kerabat diraja Kedah.
Hasil carian di Internet mendapati Mohammad Fairus 'dimasyurkan' mempunyai nasab atau pertalian darah dengan kerabat diraja kesultanan Kedah pada 8 Ogos 2015.
Berhubung persoalan mengapa beliau secara tiba-tiba mengisytiharkan mengenai asal usulnya, Mohammad Fairus berkata, beliau terpaksa berbuat demikian apabila 'cukup umur' 40 tahun mengikut kalendar Islam.
"Dah lama saya tahu asal usul ini, dari kecil ketika dilahirkan saya dan abang sulung memang dibuat istiadat dengan warna kuning.
"Cuma apabila betul-betul jelas nasab saya, dan setelah cukup umur 40 tahun dalam kalendar Islam, barulah diisytiharkan oleh bapa saudara saya.
"Selama ini rahsia itu disimpan. Saya juga dipesan, sama ada raja atau tidak, darah kita tetap merah. Bila mati nanti kain kafan tetap putih," katanya.
Tambah Mohammad Fairus lagi, beliau juga pernah dihubungi oleh pihak istana Kedah bagi mendaftarkan dirinya sebagai ahli kerabat diraja negeri itu.
"Beberapa tahun dulu pihak istana ada berikan surat berwarna kuning bertulisan jawi, tapi masa itu saya sendiri belum tahu secara keseluruhan nasab keluarga. Sebab itu saya tangguhkan," katanya.
Beliau juga bercadang untuk menghubungi pihak berkaitan bagi mendaftarkan dirinya sebagai keturunan diraja Kedah.
sumber : mstar.com.my/
0 Response to ""Saya Memang Kerabat Diraja" - Fairus"
Post a Comment