Wanita Enggan Berganjak, Pemandu Lain Terkandas


HANYA kerana tiket percumanya mempunyai sedikit masalah, seorang wanita sanggup tidak menggerakkan keretanya di laluan keluar sebuah pusat membeli-belah sehingga menyebabkan banyak kereta lain terkandas di belakang keretanya.
Biarpun kakitangan pusat membeli-belah Lot 1 di Singapura dan orang ramai cuba berbincang dengannya, wanita itu tetap berdegil mahu menyelesaikan masalah berkenaan tiketnya di saat itu juga.
Menurut wanita itu, selagi masalahnya tidak diselesaikan dia tidak akan berganjak biarpun palang penghadang diangkat bagi membolehkannya bergerak.
Ia dilaporkan di laman web singaporeseen.stomp.com.sg.
Menurut salah seorang mangsa, wanita itu enggan berganjak biarpun pihak polis yang dipanggil sudah tiba di tempat kejadian.
“Wanita ini enggan beredar biarpun pihak polis sudah pun tiba, dia manjadi penyebab banyak kereta dengan ahli keluarga mereka terkandas selama lebih kurang sejam hanya kerana ada masalah pada tiketnya.
“Deretan kereta terkandas begitu panjang sehingga ke tingkat bawah tanah B2 dan ia bermula kira-kira pukul 9 malam dan berakhir pada pukul 10 malam,” katanya.
Menurut mangsa yang tidak didedahkan namanya, wanita itu enggan menurunkan tingkat keretanya sehingga menyebabkan orang ramai mula berkumpul di sekeliling kereta dan mula memarahinya.
“Pengawal keselamatan Lot 1 turut memintanya mengundurkan kereta supaya masalah tiketnya dapat diselesaikan tetapi wanita berkenaan tetap berdegil,” katanya.
Wanita itu hanya bergerak selepas pihak polis yang tiba di tempat kejadian dan memberi amaran akan menahannya jika dia masih enggan berganjak daripada laluan keluar berkenaan.
Bagaimanapun pihak polis dilihat tidak mengambil tindakan ke atas wanita itu dan dia dibiarkan memandu pergi.

0 Response to "Wanita Enggan Berganjak, Pemandu Lain Terkandas"

Post a Comment