Peniaga Dipenjara Lapan Tahun


AYER KEROH – Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara lapan tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan merompak seorang warga emas, tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan Hakim Ahmad Sazali Omar terhadap tertuduh, Mohd Hafiz Mohd Yunus, 27, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hafiz didapati merompak seutas rantai emas milik, Maimun Che Mat, 70, sehingga mendatangkan kecederaan kepadanya di sebuah rumah di Kampung Pernu kira-kira jam 9.20 pagi pada 8 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukumannya atas alasan perlu menyara tiga anak dan isteri yang tidak bekerja selain menyesal kesalahan dilakukan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhana Ahmad meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang seolah tidak menghormati mangsa yang pernah menjadi pelanggan kepadanya.
“Wanita tersebut bernasib baik tidak mempunyai penyakit jantung. Tertuduh pernah mengambil upah memasang mozek di rumah mangsa,” katanya.
Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua belah pihak, Ahmad Sazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dari tarikh ditangkap pada 8 November 2013 dan dua kali sebatan. 

0 Response to "Peniaga Dipenjara Lapan Tahun"

Post a Comment