Pakar Jerman puji kualiti perabot Malaysia

COLOGNE - Seorang pakar perdagangan dan industri perabot Jerman yang memiliki pengalaman luas dengan industri perabot Asia Tenggara memuji kualiti perabot Malaysia tetapi menggesa pengeksport Malaysia memberi lebih perhatian kepada pembungkusan.

Dalam temu bual bersama Bernama di pameran International Furniture Show – Living Interiors 2014 – di Cologne, Renate von der Eitz, perunding Bielefeld Chamber of Commerce and Industry yang mempunyai pengalaman lebih tiga dekad khusus dalam perabot dan tekstil rumah, menegaskan bahawa pembungkusan produk perabot perlu sesuai bagi mengelakkan produk rosak semasa dihantar.

"Perlu diingat, Malaysia adalah sebuah negara tropika dengan suhu tropika. Jika anda menghantar dari Malaysia ke Jerman, produk-produk melalui perubahan iklim dramatik -- daripada sangat panas kepada iklim sangat sejuk.

"Perabot, yang kebanyakannya berasaskan kayu, perlu dibungkus dengan cara yang betul agar produk boleh mempunyai ruang udara, untuk mengelak kesan iklim dan sebarang kemungkinan kerosakan.

"Produk perabot perlu dibungkus bersebelahan dan bukan diletak di atas antara satu sama lain hanya kerana pengeksport hendak menjimatkan wang.

"Konsainan tiba dengan produk yang rosak boleh memberikan tanggapan sangat buruk dalam kalangan pengimport yang sudah pastinya tidak menerima produk tersebut dan malahan boleh memfailkan tuntutan ganti rugi terhadap pengeksport.

"Ini boleh menjejaskan reputasi pengeksport dan membawa kepada kesan yang negatif.

"Bagaimanapun, saya juga gembira mendengar daripada kenalan saya di Malaysia bahawa mereka sedang belajar dan menukar pembungkusan mereka untuk disesuaikan dengan keadaan iklim khusus di negara destinasi eksport mereka," kata von der Eitz.

Dalam pada itu beliau menekankan bahawa kualiti produk perabot Malaysia "jauh lebih baik berbanding sesetengah negara lain yang menawarkan harga yang lebih murah tetapi kualiti produk kurang baik."

Mengenai reka bentuk dan motif perabot, beliau berkata pengguna Jerman juga sangat terbuka dan berminat membeli produk menarik daripada budaya berbeza untuk rumah mereka.

Dengan ekonomi Jerman yang lebih baik berbanding kebanyakan ekonomi Eropah, purata pengguna Jerman mempunyai lebih banyak wang tunai bagi membeli barangan pengguna.

Beliau berkata, berdasarkan kaji selidik oleh pelbagai organisasi Jerman, termasuk Federation of German Chambers of Commerce and Industry, perbelanjaan perkapita di Jerman berjumlah antara 350 dan 400 euro setiap tahun hanya untuk perabot dan barangan berkaitan.

0 Response to "Pakar Jerman puji kualiti perabot Malaysia"

Post a Comment