Diculik depan suami, mertua


NUSAJAYA  - Seorang isteri muda berusia 19 tahun berhadapan detik mencemaskan apabila diculik sekumpulan empat lelaki dalam kejadian pada tengah malam 14 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, ketika kejadian, mangsa yang merupakan isteri kedua berada di rumah bersama suami, isteri pertama, ibu mertua dan tiga anak tirinya di Bandar Selesa Jaya, di sini.

“Suami mangsa membuat laporan pada jam 1 pagi sebelum pihak polis berjaya memberkas kesemua suspek pada jam 4.45 petang pada hari yang sama, selepas membuat serbuan di sekitar kawasan tersebut.

“Pengadu memberitahu, sewaktu kejadian, dia dan ibunya dipukul suspek sebelum isteri mudanya dilarikan,” katanya dalam sidang media, semalam.

Susulan penangkapan tersebut, isteri mangsa yang diculik ditemui semula dalam keadaan selamat dan keempat-empat suspek direman sehingga Ahad ini mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Noor Hashim memberitahu, punca kejadian dipercayai disebabkan oleh rasa tidak puas hati suspek terhadap pengadu.

Dalam sidang akhbar sama, Noor Hashim turut berkata, pihaknya berjaya menahan dua individu berusia 18 dan 24 tahun yang terlibat dengan beberapa kes samun di sekitar daerah ini.

“Pihak polis berjaya menahan dua suspek kes samun melibatkan warga Indonesia di Taman Nusa Perintis pada 14 Januari lalu, sekali gus menyelesaikan beberapa kes samun sekitar kawasan itu.

“Bagaimanapun, dua rakan suspek berjaya meloloskan diri daripada ditangkap dalam kejadian yang melibatkan insiden kejar mengejar,” jelasnya.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah terhadap mangsa yang berjalan kaki dalam kumpulan kecil pada waktu malam dengan bersenjatakan parang.

Suspek yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut sehingga 21 Januari 2014 mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun termasuk sebatan.

0 Response to "Diculik depan suami, mertua"

Post a Comment