Friday, 24 January 2014
Berita
Minyak masak tercemar
SEREMBAN – Seorang suri rumah hampa apabila minyak masak paket yang dibelinya di sebuah pasar raya besar di sini, tidak boleh digunakan berikutan warna dan kualiti minyak masak itu diragui.
Radiah Majlis, 47, memberitahu, kejadian disedari sewaktu dia mahu menuang minyak tersebut ke dalam botol, namun tergendala disebabkan terlihat keladak dan benda asing di dalamnya.
Katanya, bukan sahaja minyak itu berwarna keruh, tetapi kualitinya juga sangat meragukan, berikutan terdapat kesan mendapan putih selain serangga kecil.
“Saya beli minyak masak paket ini Rabu lalu bersama suami, Jefri Sulaiman di sebuah pasar raya di Senawang.
“Saya yakin, minyak ini adalah minyak kitar semula, yang kita sendiri tidak tahu daripada mana punca minyak tersebut dikumpulkan dan di paket kembali untuk dijual kepada orang ramai,” katanya.
Tambahnya, dia tahu bahawa memang wujudnya minyak masak yang dikitar semula, namun tidak menjangka akan menemui minyak tersebut dalam keadaan sebegini.
““Saya membeli minyak masak ini untuk kegunaan harian, namun jika begini rupanya saya sendiri geli mahu memakai minyak tersebut,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Radiah nekad untuk bertemu dengan pengurus pasar raya berkenaan, dan meminta penjelasan kepada mereka selain menuntut ganti minyak masak yang lain, sebelum membuat aduan kepada bahagian pengguna.
Katanya, dia berharap orang ramai melihat terlebih dahulu minyak dalam paket ini dengan teliti sebelum membelinya, kerana tidak mahu kejadian sama berlaku kepada orang lain.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Mohd Salleh Ma’amor berkata pihaknya akan menyiasat perkara tersebut terlebih dahulu, sebelum tindakan lanjut dilakukan.
Katanya, sekiranya didapati bersalah tindakan tegas akan dikenakan terhadap pasar raya berkenaan kerana menjual minyak masak yang tercemar.
0 Response to "Minyak masak tercemar"
Post a Comment