Jangan muat naik pergerakan peribadi di Facebook


KUCHING - Setiap individu perlu merahsiakan maklumat peribadi serta tidak menguar-uarkan pergerakan mereka di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata tindakan memuat naik maklumat peribadi dan pergerakan hanya akan mengundang bahaya untuk diri sendiri dan memberi peluang kepada penjenayah.

"Misalnya, kalau mahu ke mana-mana tidak perlulah muat naik di Facebook untuk memberitahu semua orang kerana penjenayah mungkin akan mendapat maklumat untuk mengesan anda atau mereka akan menyasarkan rumah anda untuk melakukan rompakan," katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Roslan menasihatan pemilik rumah agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah masing-masing supaya sekiranya terjadi rompakan ia akan memudahkan polis menyiasat sekali gus mengesan pelaku.

"Kini terdapat CCTV buatan negara China yang murah dan boleh disambung ke Internet dan dipantau menerusi telefon mudah alih peribadi," katanya.

Beliau turut meminta mangsa kejadian jenayah agar melaporkan kepada pihak polis, sekalipun ia kes kecil dan memberi jaminan akan menyiasat semua aduan.

0 Response to "Jangan muat naik pergerakan peribadi di Facebook"

Post a Comment