Digigit ular sawa luar sekolah


PORT DICKSON - Seorang murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson, dekat sini cedera akibat digigit ular sawa di luar pagar hadapan sekolah berkenaan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, Mohd Hafiy Arsyad Hairul Nizam, 8, digigit ular berkenaan yang panjangnya kira-kira setengah meter.

Bapa mangsa, Hairul Nizam Mohd Safari, 33, berkata, dia mengetahui anaknya digigit ular berkenaan selepas diberitahu pemandu van sekolah anaknya.

Menurutnya, dia bergegas dari tempat kerja ke sekolah sebaik dimaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Sebaik tiba di sekolah, saya dapati anak saya sudah dibawa duduk di wakaf bersebelahan pondok pengawal keselamatan di dalam kawasan sekolah. Dia tenang dan tidak menangis sebelum saya segera membawanya ke Klinik Kesihatan Port Dickson untuk rawatan,” katanya.

Penolong Juruteknik Stesen Janakuasa Tuanku Ja'afar itu berkata, anaknya kemudian dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan dan ditahan di wad.
Katanya, semasa anaknya menerima rawatan di klinik, dia kembali semula ke tempat anaknya digigit ular berkenaan.

“Saya mahu mencari kepastian jenis ular yang menggigit kepala anak saya itu. Selagi tidak jumpa, hati saya risau. Saya cari dari satu pokok ke pokok dalam keadaan berhati-hati, sebelum kira-kira lima minit kemudian saya nampak ada seekor ular.

"Bomba kemudian dipanggil untuk membantu menangkap ular berkenaan," katanya ketika ditemui di wad kecemasan Hospital Port Dickson, semalam.

Sementara itu, Mohd Hafiy berkata, semasa kejadian dia bersama rakannya baru tamat sesi sekolah dan lalu di bawah pokok berkenaan untuk ke van sekolah.

“Masa lalu bawah pokok, tiba-tiba kepala rasa sakit. Saya mendongak, tiba-tiba nampak ular. Saya terus lari sebelum ada orang tolong. Memang rasa sakit," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba, Shaharudin Saari berkata, sekumpulan anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya menangkap ular sawa di kawasan berkenaan.

0 Response to "Digigit ular sawa luar sekolah"

Post a Comment