Edar dadah kerana mahu cepat kaya


GURUN - Gara-gara ingin cepat kaya, sepasang kekasih berdepan hukuman gantung sampai mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret Gurun semalam, atas kesalahan mengedar heroin dengan anggaran berat sebanyak 35.7 gram pada 6 Januari lalu.

Tertuduh, Ragvir Singh Mahindar Singh, 39, dan Nuramiza Abdul Rahman, 29, kedua-duanya dari Gurun, Kedah mengaku tidak bersalah atas perbuatan yang dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor, Belakang Market, Gurun lebih kurang jam 12.50 tengah malam.

Atas perbuatan itu, mereka dituduh di bawah Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Pindaan 1983) dan boleh dihukum bawah Seksyen 39 B (2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sekiranya didapati bersalah, hukuman mandatori gantung sampai mati boleh dikenakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Farrah Farriza Wan Ghazali sementara tertuduh diwakili peguam Mohd Amirul Ramli.

Majistret Adibah Husna Zainal Abidin menetapkan 26 Februari depan sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Wan Farrah Farriza bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh.

Sementara itu, pasangan itu turut didakwa di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan atas tiga pertuduhan lain.

Pertuduhan pertama ialah didapati kedua-duanya memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine anggaran seberat 0.4 gram.

Manakala pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki dadah jenis eramin 5 anggaran berat 4.53 gram.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa memiliki pil estasy dengan anggaran seberat 0.48 gram.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di lokasi, tarikh dan masa sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan sekiranya bersalah.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan sama bagi kesemuanya selain tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

0 Response to "Edar dadah kerana mahu cepat kaya"

Post a Comment