Tuesday, 21 January 2014
Berita
Bil air naik 10 kali ganda
MERANTI - Lebih 10 keluarga di Kedai Meranti terkejut dan mengeluh apabila menerima penyata bil air yang didakwa melambung 10 kali ganda daripada bulan sebelumnya iaitu RM80 hingga RM500.
Penduduk bimbang sekiranya bayaran tidak dibuat menjelang minggu ini, bekalan air mungkin dipotong sedangkan mereka tidak ada wang untuk melunaskan pembayaran bil tersebut kerana baru sahaja membeli barang kelengkapan persekolahan untuk anak-anak.
Daripada RM40 kepada RM500 sebulan
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, 32, berkata, dia terkejut apabila mendapati bil air pada Disember tahun lalu, berjumlah RM586.70 sedangkan bil untuk November hanya RM44.85.
Menurutnya, kebiasaannya bil air hanya mencecah dalam lingkungan RM25 sebulan namun, meningkat kepada RM40 pada Oktober.
“Saya mengadu kepada pihak berkenaan dan mereka memaklumkan siasatan dan kerja membaiki hanya dilakukan sekiranya pelanggan melunaskan bayaran tunggakan.
“Meskipun saya rasa tidak adil, namun disebabkan percaya dengan dakwaan pihak terbabit, saya bayar bil RM40 tersebut.
“Saya ingatkan, setelah melunaskan bayaran itu, masalah lama akan selesai tetapi sangkaan saya salah kerana timbul pula masalah baharu apabila bil air rumah saya melambung kepada RM586.70,” katanya.
Nurul berkata, selepas apa yang terjadi dia mungkin sukar untuk mempercayai kakitangan terbabit kerana masalah lama tidak selesai sebaliknya timbul pula masalah baharu yang membebankan penduduk.
Menurutnya, dia tidak akan melunaskan bil itu kerana masalah bukan berpunca daripada penduduk sebaliknya kerosakan paip atau mesin pengepam air pihak berkenaan.
Dakwanya, masalah itu bermula selepas pihak berkenaan membaik pulih paip utama yang terletak di tepi jalan berdekatan balai polis, namun selepas dibaiki bil air penduduk melambung kerana berlaku kebocoran air dan angin ke paip rumah penduduk di sini.
Caj RM500 daripada penduduk
Seorang lagi penduduk, Yah Mamat, 58, berkata, dia turut menghadapi masalah sama apabila menerima penyata bil air Disember tahun lalu, berjumlah RM290.51.
Menurutnya, sebelum ini jumlah bil air untuk Oktober 2013 hanya mencecah RM30 sebulan namun, melonjak naik kepada RM140.01 pada bulan seterusnya November.
“Atas nasihat pihak terbabit, penduduk diminta membaiki meter baharu dan memasang paip hitam di luar rumah kerana berlaku kerosakan paip di kawasan ini.
“Disebabkan kerja membaiki ini, setiap rumah dikenakan kadar bayaran sebanyak RM500 namun masalah lama tetap berulang,” katanya.
Wang habis untuk persekolahan anak
Turut mengalami nasib sama, penduduk, Asiah Ibrahim, 49, berkata, bil air pada bulan lepas mencecah RM365.84 sedangkan hanya RM20.62 pada November 2013.
Menurutnya, pada hujung tahun lalu dia mendahulukan wang untuk membeli seragam sekolah, kasut baharu dan buku untuk empat anak berusia lapan hingga 15 tahun.
“Di mana saya nak cari duit bayar bil air, sedangkan semua wang simpanan digunakan untuk membeli kasut, beg, pakaian seragam dan buku baharu untuk anak-anak.
“Berbekalkan gaji suami sebagai tukang kebun sekolah, saya tak mampu untuk melunaskan bil air ini,” katanya.
Menurutnya, jika pihak terbabit tidak membatalkan bil ini, dia bimbang bekalan air mungkin dipotong seterusnya menyukarkan segala urusan harian.
Bil lebih tinggi daripada keuntungan kedai
Peniaga, Siti Rokiah Che Ya, 61, berkata, dia tidak pernah mengalami masalah seumpama ini, sejak memulakan perniagaan kedai makan puluhan tahun lalu.
Menurutnya, pelanggannya mengeluh kerana tidak tahan dengan bunyi bising setiap kali dia membuka paip untuk memasak air mahupun membasuh pinggan mangkuk.
Katanya, dia terpaksa menunggu lama untuk mengumpulkan air kerana angin bercampur dengan air di dalam paip.
Bukan itu sahaja, Rokiah terpaksa akur dengan bil RM40 pada November tahun lalu, namun tidak percaya ia melambung dua kali ganda pada bulan lalu.
“Ini menyebabkan pendapatan perniagaan saya semakin berkurangan sedangkan penggunaan air tidak sebanyak itu,” katanya.
Sementara itu, sumber Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkata, kebiasaannya jika bil melambung kemungkinan besar terdapat kebocoran paip dalaman premis tersebut.
“Penduduk atau pemilik premis dinasihatkan memeriksa atau mendapatkan bantuan tukang paip untuk mengesan kebocoran,” katanya.
0 Response to "Bil air naik 10 kali ganda"
Post a Comment