APALAH SALAH KANAK-KANAK INI SAMPAI MATI DITEMBAK??

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas terkena salah satu daripada tiga das tembakan yang dipercayai disasarkan kepada ba­panya dalam kejadian berhampiran sebuah bank di Jalan Besar, Pekan Semenyih, dekat sini semalam.
NISHA

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Nisha terkena tembakan di kepala manakala bapanya, Ravichandran ditembak di leher.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, mereka ditembak di hadapan kedai menjual bunga segar milik ibu kanak-kanak tersebut.


“Mangsa yang terkena tembakan di bahagian kanan kepala me­ninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Kajang.


“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh dan suspek yang terlibat sedang diburu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Sementara itu, saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Mala, 31, berkata, dia terdengar ibu dan nenek mangsa menjerit meminta pertolongan daripada orang ramai sejurus selepas kejadian.


Ujarnya, dia yang ketika itu sedang mengemas untuk menutup premis perniagaan terus meluru keluar dan melihat kedua-dua mangsa terbaring berlumuran darah di tepi jalan.


“Anak saudara saya telah membawa mangsa ke Hospital Kajang dengan menaiki sebuah van.
“Tragedi ini sangat mengejutkan kerana keluarga mangsa sangat peramah dan disenangi orang di kawasan ini,” katanya.


Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ujang, 29, ketika dihubungi memberitahu, dia terdengar beberapa das tembakan ketika sedang menemani isterinya me­ngeluarkan wang di bank berkenaan.


Ujarnya, dia bergegas mendekati tempat kejadian dan terlihat kedua-dua mangsa terbaring di tepi jalan.
“Saya terkejut apabila melihat mangsa merupakan seorang kanak-kanak yang ditembak di kepala dan terus menghubungi pihak polis,” katanya.

0 Response to "APALAH SALAH KANAK-KANAK INI SAMPAI MATI DITEMBAK?? "

Post a Comment