QZ8501: Butiran Ais Rosakkan Enjin, Mungkin Punca Terhempas


PELBAGAI spekulasi dan andaian mula berlegar tentang punca sebenar pesawat AirAsia QZ8501 yang membawa penumpang dari Surabaya ke Singapura, terhempas di perairan Karimata, Ahad lalu.
Faktor paling kuat dikaitkan dengan punca nahas tersebut adalah keadaan cuaca buruk.
Terbaharu, kenyataan rasmi oleh Kerajaan Indonesia menerusi ‘Analisis Meteorologi’ setebal 14 muka surat, menguatkan lagi spekulasi tersebut.
Analisis data cuaca di laluan pesawat sebelum terjadinya nahas menunjukkan berlaku keadaan membimbangkan ekoran angin kencang.
Selain itu, imej satelit merakamkan suhu antara -80 ke -85 °C pada hari kejadian, sekaligus membuktikan berlaku pembentukan ais dalam awan.
Menurut laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), kemungkinan besar faktor cuaca telah menyebabkan terjadi butiran ais (icing) dalam awan yang boleh menyebabkan enjin pesawat rosak.
“Ini bagaimanapun hanya satu analisis apa yang mungkin berlaku berdasarkan data meteorologi yang ada, dan bukan penentuan muktamad mengenai punca kejadian itu,” kata laporan tersebut.
Dalam sidang media malam tadi, Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo berkata, setakat ini hanya 30 mayat telah berjaya ditemui.
Menyingkap imbasan tragedi, pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan udara pada pukul 6.12 pagi, 28 Disember lalu.
Setelah tiga hari misi pencarian pesawat berkenaan, serpihan pesawat QZ8501 dan beberapa mayat ditemui di lautan Kalimantan. -MYNEWSHUB.CC

QZ8501: Pesawat Mampu Mendarat Atas Air Tiba Untuk SAR


JAKARTA – Pesawat Beriev Be-200 milik Russia yang berkeupayaan mendarat di atas air tiba di Jakarta hari ini bagi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.
Ketua operasi udara dan penerbangan, Kolonel Iman Handodjo, berkata pesawat yang tiba jam 1.45 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB) itu direka khusus untuk mendarat di atas air.
“Jenis pesawat Beriev Be-200 mempunyai spesifikasi yang boleh mendarat di air khusus untuk operasi laut,” katanya.
Beliau berkata, pesawat bernombor RV-31121 itu yang membawa 12 kru, belum lagi dijadual menyertai misi SAR di Pangkalan Bun, hari ini.
“Memang pesawat Russia ini belum dijadual berangkat hari ini, bersedia dulu. Kru diminta memberi penjelasan mengenai kelebihan pesawat itu ke BASARNAS supaya boleh diselaraskan nanti,” katanya.
Iman berkata, dalam misi SAR hari ketujuh ini, tiga pesawat akan diterbangkan ke Pangkalan Bun iaitu Hercules A-1320.
“Pesawat CN-295 berangkat jam 9.00 pagi WIB. Kapasitinya boleh membawa 12 peti (keranda) sementara pesawat P3-C Orion KN-01 milik Korea Selatan akan berlepas jam 10.00 WIB,” katanya. – Detik.news

0 Response to "QZ8501: Butiran Ais Rosakkan Enjin, Mungkin Punca Terhempas"

Post a Comment