Nahas QZ8501: 7 Mayat Ditemui Masih Terikat Di Tempat Duduk

Antara kapal perang Indonesia yang terlibat dengan proses mencari serpihan pesawat dan mayat mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501.

PANGKALAN BUN: Saat tujuh mayat mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 ditemukan kapal KRI Bung Tomo, kesemuanya masih berada dalam keadaan terikat di kerusi pesawat.
Justeru, kesemua mayat dibawa naik ke atas kapal perang tersebut bersama kerusi yang diduduki.
Perkara ini diceritakan Komandan KRI Bung Tomo, Kolonel Yayan Sofiyan menerusi panggilan telefon kepada portal berita Metro TV, pada Jumaat.
Yayan menjelaskan, ketujuh-tujuh mangsa nahas tersebut didapati berada di tempat duduk dengan memakai tali pinggang keselamatan dan tiga daripada mereka disyaki merupakan satu keluarga.
“Terdapat dua lelaki dan seorang perempuan, satu keluarga kerana duduk berderet satu tempat duduk,” ungkap beliau.
Yayan menambah, terdapat dua mayat lain yang ditemui duduk bersebelahan sementara dua lagi mayat ditemui dalam posisi terpisah.
Difahamkan, KRI Bung Tomo sudah pun melakukan koordinasi dengan KRI Banda Aceh dan Badan SAR Nasional untuk membawa ketujuh-tujuh mayat yang ditemui itu ke Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, pada Sabtu.

Jenazah Grayson, Khairunnisa Dan Kevin Dikenalpasti

Tentera Laut AS menurunkan empat jenazah korban nahas pesawat AirAsia QZ 8501 dari Helikopter Black Hawk sebaik tiba di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, pada Jumaat.


SURABAYA: Pasukan Pengecam Mangsa Bencana (DVI) Polis Daerah Jawa Timur hari ini mengesahkan identiti tiga lagi mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 yang terkorban.
Mangsa pertama dikenalpasti, Hayati Lutfiah telah diumumkan identitinya kelmarin.
Setakat Jumaat yang merupakan hari keenam selepas nahas berlaku, identiti tiga mayat terbaharu yang diumumkan adalah Grayson Herbert Linaksita, Khairunnisa Haidar Fauzi dan Kevin Alexander Sucipto.
Grayson dan Kevin merupakan penumpang AirAsia yang hilang daripada radar pada 28 Disember 2014 itu, sementara Khairunnisa adalah kru pesawat.
Difahamkan, setelah identiti mangsa nahas dikenalpasti dan diumumkan, pihak polis akan menyerahkan mayat kepada AirAsia sebelum syarikat penerbangan tersebut menguruskan penyerahan jenazah kepada keluarga masing-masing.
Kini masih terdapat empat mayat lain yang sedang dalam proses identifikasi dan pengumuman akan dibuat sebaik sahaja keputusan diperoleh.
- METROTVNEWS.COM

0 Response to "Nahas QZ8501: 7 Mayat Ditemui Masih Terikat Di Tempat Duduk"

Post a Comment