Wednesday, 15 October 2014
Berita
Ribut Taufan: Mangsa cerita detik cemas sewaktu kejadian
PENDANG - “Dalam keadaan panik saya terpaksa membawa anak dan isteri bersembunyi di bawah tangga,” kata Mohd Zahir Jaafar, 24, di Kampung Alor Besar, di sini.
Sewaktu kejadian, beliau bersama anak, Mohd Thaqif Zaim, tiga tahun dan isteri, Tini Shazwani Mohamad Tajuddin, 23, sedang menonton televisyen di rumah mertuanya.
Beliau berkata, suasana yang tenang pada mulanya bertukar menjadi cemas apabila bunyi angin kencang, sesekali terdengar bumbung rumah seperti terangkat.
“Kami keluar sekejap melihat keadaan sekeliling namun apabila keadaan semakin membimbangkan, saya segera minta anak dan isteri berlari masuk ke dalam rumah mencari berlindungan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Mohd Zahir hanya nampak bawah tangga sebagai lokasi paling selamat berbanding kawasan lain.
“Saya mengangkat tilam yang kebetulan berada bawah tangga dan menyorok di bawahnya bersama-sama mereka sambil berdoa serta tawakal supaya selamat. Syukurlah kami tidak apa-apa dan anak pun tidak menangis.
"Walaupun kejadian hanya berlaku beberapa minit namun terasa nyawa berada di hujung tanduk kerana kayu dan atap dari bahagian rumah atas jatuh dan menimpa kawasan dapur bersebelahan tempat kami berlindung," katanya.
Selepas kejadian itu, mereka sekeluarga menumpang sementara di rumah mertua yang masih dalam proses pembinaan.
"Jika diikutkan mahu tidur malam pun tidak lena kerana bimbang kejadian angin pusar kembali berulang.
"Sepanjang saya tinggal di sini sejak setahun lebih, ini adalah kejadian pertama yang berlaku," katanya.
0 Response to "Ribut Taufan: Mangsa cerita detik cemas sewaktu kejadian"
Post a Comment