Wanita maut disengat lebah


SEREMBAN – Seorang pekerja pembersihan wanita maut ketika dalam perjalanan ke klinik selepas disengat lebah di tempat kerjanya di sebuah kelab golf, dekat Mantin, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang itu, Norli Bahari, 47, menghembuskan nafas terakhir di sisi suaminya, Jamil Omar, 50, dalam van syarikat yang membawanya ke Klinik Kesihatan Mantin untuk mendapatkan rawatan.

Menceritakan kejadian, Jamil yang bekerja di tempat yang sama dengan isterinya berkata, dia hanya menyedari Norli diserang sekumpulan lebah selepas terdengar suara teriakan meminta tolong.

“Ketika itu saya berada berhampiran kolam dan terus pergi ke bahagian hadapan untuk melihat apa berlaku.

“Saya nampak isteri saya dalam keadaan tidak lagi bertudung dan agak lemah. Saya tanya kenapa, dan dia beritahu disengat lebah," katanya yang masih bersedih dengan kejadian itu.

Menurutnya, isterinya meraung akibat kesakitan dan dia memapah sambil cuba menenangkan isterinya itu.

Bagaimanapun, katanya, ketika sedang menunggu bantuan kecemasan, mulut isterinya mengeluarkan buih dan keadaannya terlalu lemah.

“Saya tengok mulutnya berbuih dan tidak sampai beberapa minit dia sudah tidak sedarkan diri. Saya tengok seluruh muka dan tangan isteri saya bengkak," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar di sini, semalam.

Jamil berkata, isterinya yang tidak sedarkan diri kemudian disahkan meninggal dunia oleh Klinik Kesihatan Mantin.

Bapa kepada seorang anak ini berkata, dia difahamkan ketika kejadian, Allahyarham Norli baru selesai membuang sampah di satu lokasi disediakan di kelab berkenaan.

“Yang saya tahu tiada sarang lebah di situ, tapi mungkin arwah dikejar sekumpulan lebah ketika pulang dari tempat itu," katanya.

Menurutnya, Allahyarham isterinya sudah bekerja di kelab golf berkenaan sejak empat tahun lalu dan kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku kepada isterinya.

“Sebelum ini pun pernah seorang warga Jepun yang sedang bermain golf di situ disengat lebah, tapi dia selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Jamil berkata, dia hiba apabila mengingatkan kembali ucapan selamat hari lahir yang diterima daripada Allahyarham isterinya ketika bangun tidur, pagi sebelum kejadian.

"Sebelum kejadian, dia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia akan pergi meninggalkan saya. Tapi saya tidak sangka ucapan selamat hari lahir daripada arwah itu saya tidak akan dengar lagi selepas ini,” katanya.

Allahyarham Norli  dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Machang Hulu, Lenggeng,  semalam.

0 Response to "Wanita maut disengat lebah"

Post a Comment