Tak sempat jadi pengantin


SEREMBAN – "Saya sedih, arwah meninggal ketika dia sibuk buat persiapan kahwin," kata Abdul Razak Abdullah, 59, bapa kepada mangsa kemalangan di Jalan Persiaran Senawang I, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, Muhamad Ridhwan Abd Razak, 23, menemui ajal selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta.

Menurut Abdul Razak, sebelum kejadian, anaknya itu memberitahu mahu berjumpa dengan tunangnya di Taman Panchor Jaya, dekat sini  bagi membuat persiapan perkahwinan mereka yang dijadualkan berlangsung Mei ini.

“Dia keluar rumah kira-kira 10 pagi. Biasanya, setiap kali dia mahu keluar, dia akan beritahu saya. Saya tergamam apabila kawan arwah datang ke rumah memberitahu arwah meninggal dunia dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar, dekat sini, semalam.

Abdul Razak berkata, Allahyarham Muhamad Ridhwan merupakan anak bongsu dari tiga beradik dan seorang anak yang suka membantu orang.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Relung, Chengkau, Rembau.

"Ketika di lokasi kejadian, sebuah kereta Kancil dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki susur kanan berhampiran sebuah kilang di situ. Mangsa yang tidak sempat mengelak telah merempuh kereta berkenaan menyebabkannya tercampak ke tengah jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

"Bagaimanapun, pemandu kereta Kancil yang berusia 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu terbabit masuk ke susur kanan kerana mahu ke Senawang sebelum dirempuh motosikal mangsa,” katanya.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Superitendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

0 Response to "Tak sempat jadi pengantin"

Post a Comment