Klinik diroboh separuh timbul tanda tanya


JASIN - Bangunan Klinik Desa Batang Melaka yang dirobohkan tahun lalu bukan sekadar menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk, malah juga mereka memohon pihak berkenaan membina semula klinik terbabit untuk kebaikan penduduk.

Penduduk, Shariff Suboh berkata, sebelum ini, pihak berkenaan dipercayai merobohkan bangunan terbabit untuk membina semula bangunan baharu, namun sehingga sekarang belum ada sebarang kerja-kerja pembinaan dijalankan.

Menurutnya, lebih membimbangkan dan menimbulkan tanda tanya, bangunan yang semakin uzur juga tidak dirobohkan sepenuhnya.

“Kita tertanya-tanya kenapa mereka robohkan tapi sehingga sekarang tidak dibina apa-apa.

“Saya minta pejabat kesihatan negeri dapat melakukan sesuatu kerana kemudahan yang dirobohkan itu merupakan keperluan penduduk di sini,” katanya.

Bagi, P Bala pula berkata, sejak dirobohkan penduduk di kawasan itu terpaksa bergerak ke Selandar yang terletak 10 kilometer dari kawasan kampung berkenaan untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Menurutnya, biarpun wujud Klinik 1Malaysia berdekatan kawasan itu, namun klinik desa penting kepada penduduk memandangkan tidak semua penduduk memiliki kenderaan sendiri.

“Kita gembira mendengar khabar berkenaan, namun kegembiraan itu tidak bertahan lama memandangkan bangunan klinik itu dirobohkan sebahagian dan kemudiannya dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Menurutnya, penduduk sememangnya menantikan pembaharuan yang ingin dibuat di sini memandangkan kedudukan Kampung Batang Melaka terletak jauh di pinggir bandar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Batang Melaka, Hasan Maadah berkata, pihaknya sedia maklum dengan masalah berkenaan dan sudah pun memaklumkannya kepada Adun Asahan, Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Menurutnya, beliau juga berharap pihak berkenaan dapat melakukan sesuatu termasuk mempercepatkan kerja-kerja pembinaan kerana bangunan separuh roboh itu turut mencacatkan pemandangan.

“Wakil rakyat juga sedia maklum mengenai isu ini dan beliau bercadang untuk memaklumkan masalah berkenaan kepada pihak Kementerian Kesihatan memandangkan tanah terbiar itu adalah milik mereka.

“Selain itu, Datuk Ghaffar juga akan meminta pihak kementerian supaya menyegerakan proses membina semula klinik di kawasan itu bagi memberi keselesaan kepada penduduk untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

0 Response to "Klinik diroboh separuh timbul tanda tanya"

Post a Comment