Remaja maut, rakan pula parah

TAWAU - Seorang remaja maut dan rakannya cedera parah apabila motosikal dinaiki mereka bertembung sebuah kereta di Jalan Megah 2, di sini, malam tadi.
 
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Awang Besar Dullah berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Samil, 20, dan merupakan pembonceng mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
    
"Rakan mangsa Nuhaimin Amirullah, 21, yang menunggang motosikal tersebut patah kedua-dua kaki dan pergelangan tangan hampir putus manakala pemandu kereta yang berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
    
Beliau berkata, ketika kejadian Samil dan rakannya dalam perjalanan dari Jalan Tiku menuju ke Batu Tiga, namun apabila sampai di tempat kejadian Nuhaimin dikatakan telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta.
    
Awang Besar berkata siasatan awal mendapati Nuhaimin tidak memiliki lesen dan kini dirawat di Hospital Besar Tawau. 

0 Response to "Remaja maut, rakan pula parah"

Post a Comment