Polis cari tiga suspek kes gaduh


MANJUNG - Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sedang mengesan tiga suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Sitiawan, di sini, pada 1 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, insiden pada jam 4.30 pagi lalu itu mengakibatkan dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan.

Menurutnya, dalam pergaduhan tersebut, empat suspek yang dipercayai mabuk menyerang dua mangsa berkenaan menggunakan parang.

“Kita berjaya menahan seorang suspek berusia 23 tahun dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Dua suspek dikenal pasti iaitu individu berusia 21 dikenali sebagai C Devendran yang dipercayai tinggal di Taman Samudera, Sitiawan dan M Ramanan, 22, pula beralamat di Kampung Deralik, Sitiawan, manakala seorang lagi suspek tidak dikenal pasti,” katanya dalam sidang media di IPD Manjung, di sini, semalam.

Beliau berkata, dua suspek dikenal pasti itu dipercayai telah melarikan diri ke luar negeri Perak.

“Kedua-dua suspek terbabit mempunyai lima kes lampau melibatkan samun sejak 2012.

“Mereka juga sangat berbahaya kerana mempunyai senjata tajam dan amat dikehendaki oleh pihak polis,” katanya.

Jaafar berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 326 kanun keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta segera menyalurkannya kepada polis.

“Kami amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga suspek supaya segera memaklumkan kepada kami bagi memastikan tindakan segera dapat diambil,” katanya.

0 Response to "Polis cari tiga suspek kes gaduh"

Post a Comment