Polis Kuching selesai tiga kes pecah masuk

KUCHING - Polis Kuching berjaya menyelesaikan,masing-masing satu kes pecah masuk kedai, stor dan rumah dan menahan 12 suspek yang kesemuanya positif dadah syabu dalam tempoh enam hari.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, polis turut berjaya menemui semula barangan yang dicuri bernilai RM150,000.

Katanya kes pertama melibatkan pecah masuk kedai barangan elektrik di Hakka Avenue Estate, Penrissen, dekat sini pada 10 Jan melibatkan kerugian RM80,000.

"Hasil siasatan dan maklumat risikan, tujuh lelaki tempatan berusia 20 hingga 40 tahun ditahan di beberapa lokasi, dan polis berjaya menemui semula pelbagai barang dianggarkan bernilai RM50,000," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu, polis berjaya menahan dua lagi suspek lelaki berusia 24 dan 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk kedai itu.

"Tujuh suspek pertama ditahan reman tujuh hari bermula 11 Januari manakala dua suspek lagi ditahan reman empat hari bermula 14 Jan. Hasil soal siasat mendapati kumpulan ini bergiat aktif pecah kedai dan pejabat di sekitar Kuching," katanya.

Roslan berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua sembilan suspek positif dadah jenis syabu (methapethamine).

Katanya kes kedua membabitkan pecah masuk stor di Batu Tiga, Jalan Rock, dekat sini pada Rabu lepas apabila pemilik dan pekerja stor yang melawat stor itu ternampak sebuah van putih di situ.

"Curiga dengan van tersebut, mereka berdua menghalang van tersebut dan berjaya menahan pemandu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, namun seorang lagi lelaki berjaya melarikan diri.

"Polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berhampiran bergegas ke lokasi kejadian setelah dimaklumkan dan berjaya menemui semua barang-barang milik pengadu dan beberapa barang lain yang dianggarkan bernilai RM50,000. Van tersebut juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Katanya suspek juga didapati positif dadah syabu dan ditahan reman empat hari bermula semalam.

"Polis juga telah mengenal pasti identiti suspek yang melarikan diri, gerakan memburu sedang giat dijalankan," katanya.

Roslan berkata, kes ketiga membabitkan penahanan dua lelaki tempatan berusia 33 dan 37 tahun ketika sepasukan polis melakukan rondaan cegah jenayah.

"Polis yang melakukan rondaan di kawasan Stampin, dekat sini telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Ipsum dalam keadaan mencurigakan. Hasil soal siasat dua suspek tersebut telah membawa polis ke sebuah rumah di Taman Daya, BDC,  dekat sini. Polis menjumpai pelbagai barang dipercayai dicuri hasil kegiatan pecah rumah dianggarkan bernilai RM50,000," katanya.

Katanya kedua-dua suspek juga positif syabu dan mereka ditahan reman selama empat hari bermula semalam.

0 Response to "Polis Kuching selesai tiga kes pecah masuk"

Post a Comment