Maut jatuh dari tingkat empat

SEPANG – Seorang kanak-kanak lelaki, D Sree Sarveash berusia dua tahun setengah, maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat rumahnya di Apartment Elite, Putra Perdana, di sini, kira-kira jam 6 petang, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Deputi Supritendan Zaldino Zaludin memberitahu, polis sudah memanggil ibu bapa mangsa untuk mendapat keterangan berhubung kematian anak mereka.

“Ini bagi menyelesaikan masalah dan mengetahui punca kejadian sebenar. Kita masih menyiasat punca kejadian, keputusan akan diperoleh dalam masa terdekat,” katanya.

Zaldino berkata, ada dua kemungkinan sahaja iaitu sama ada cuai atau pun jenayah tetapi mengesahkan tiada unsur jenayah terhadap kematian mangsa.

Beliau berkata, setakat ini polis mengklasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut.

“Mangsa di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya.

Salah seorang ibu saudara mangsa yang hanya dikenali sebagai Saras berkata, ketika kejadian, keluarga mangsa baharu sahaja pulang dari Batu Cave sempena perayaan Thaipusam.

“Setelah pulang, mereka yang agak penat terus tidur tanpa menyedari kelakuan anaknya ketika itu. Sebelum itu, mungkin anak mereka memanjat balkoni sebelum terjatuh ke bawah,” katanya.

0 Response to "Maut jatuh dari tingkat empat"

Post a Comment