Banduan keracunan ayam masak merah

GEORGETOWN - Dua banduan dikejarkan ke hospital selepas mengalami keracunan makanan yang teruk dipercayai memakan ayam masak merah yang dihidangkan malam kelmarin.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim berkata, dua banduan itu dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sejurus muntah dan cirit birit sejak tengah malam, kelmarin.

“Dalam kejadian malam tadi (kelmarin), lebih 100 banduan di Penjara Reman Pulau mengalami cirit birit dan muntah dipercayai makan ayam masak merah yang dihidangkan sebagai makan malam, namun keadaan mereka tidak serius.

"Hanya dua daripada mereka mengalami keracunan teruk sehingga terpaksa dibawa ke HPP namun diberi rawatan pesakit luar.

“Kita sedang memantau perkembangan mereka terlibat dan keadaan setakat ini terkawal di penjara yang menempatkan seramai 1,200 banduan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Lailanor Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu dari Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut pada jam 12 tengah hari semalam.

“Dua pasukan perubatan telah dihantar untuk merawat banduan terlibat yang mana keadaan mereka dilaporkan stabil. Difahamkan, ayam masak merah itu dihidangkan kepada semua banduan sebagai makan malam pada jam 7 hingga 8 malam tadi (kelmarin).

“Pihak hospital juga mengambil sampel masakan itu untuk analisis bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

0 Response to "Banduan keracunan ayam masak merah"

Post a Comment