Cubaan curi kucing kenalan gagal


JOHOR BAHRU – Akibat terlalu obses, seorang lelaki berusia 30an patah kaki dalam cubaannya mencuri dua anak kucing Munchkin bernilai kira-kira RM3,000 milik kenalannya sendiri.

Semuanya terbongkar apabila lelaki berkenaan yang patah kaki ketika cuba melarikan diri meminta bantuan daripada jiran mangsa.

Pemilik kucing berkenaan yang dikenali sebagai Intan, 30, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi semalam, dia dan suaminya yang sedang tidur, sebelum terjaga apabila terdengar bunyi bising di tingkat bawah kediamannya.

“Kami berasa seperti ada yang tidak kena apabila terdengar kucing kami tiba-tiba riuh-rendah. Suami mengintai dari tingkap bilik sebelum ternampak kelibat lelaki berada berhampiran sangkar kucing di bahagian luar rumah.

“Suami terus menyergah lelaki itu tetapi dia melarikan diri melalui pagar di bahagian belakang. Kami cuba mengejarnya tetapi tak berjaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Intan kemudiannya memeriksa sangkar haiwan peliharaannya sebelum menyedari dua anak kucing telah dilarikan. Malah terdapat kesan ia diumpil, selain besi tempat penguncinya turut dipotong.
“Saya dan suami juga memeriksa belakang rumah dan menemui seekor kucing kami yang dicuri. Tidak lama kemudian, kami terima panggilan daripada jiran memaklumkan ingin datang menemui saya dan suami di rumah. Kami terkejut apabila jiran kami datang membawa lelaki berkenaan yang tidak dapat bergerak akibat patah kaki,” katanya.

Seekor kucing yang dilarikan juga berjaya ditemui, namun ia mengalami kecederaan dipercayai terjatuh ketika cuba dilarikan.

Beliau yang memelihara lebih 40 ekor kucing itu mengakui begitu terkejut melihat wajah lelaki itu adalah kenalannya sendiri.

“Seminggu sebelum kejadian, lelaki itu ada datang ke rumah kerana menempah seekor anak kucing dari baka yang sama.  Saya tidak terfikir dia sanggup mencuri sedangkan dia mampu untuk membelinya... mungkin dia terlalu obses,” katanya.

Berhubung kejadian itu, Intan melaporkan kejadian kepada pihak polis di Balai Polis Sentral, pada hari yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

0 Response to "Cubaan curi kucing kenalan gagal"

Post a Comment