Mohd Firdaus Sulong, 17 tiba-tiba hilang dan lemas setelah dibawa ombak ke tengah laut. |
Mohd Firdaus Sulong, 17, bersama rakan-rakan ke pantai untuk mencari kerang dan mandi di lokasi yang menjadi tumpuan berikutan fenomena ribuan kerang terdampar itu.
Bagaimanapun, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sura itu tiba-tiba hilang dan lemas setelah dibawa ombak ke tengah laut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.13 petang dan bergegas ke lokasi.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan berjaya menemui mayat mangsa terdampar di pesisir pantai iaitu pada jarak 100 meter dari lokasi remaja itu hilang.
"Seramai lima anggota terlibat dalam operasi berkenaan dan pasukan bomba telah menemui mangsa terdampar di pesisir pantai pada jam 3.00 petang.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke unit forensik Hospital Dungun," katanya kepada pemberita.
Rakannya, Mohd Zukhairi Mohd Yusof berkata, dia melihat tangan Firdaus terkapai-kapai dan dibawa ombak tetapi tidak mampu membantu melainkan meminta bantuan orang ramai tetapi ia sudah terlambat kerana rakannya itu sudah tenggelam.
"Kami ke pantai kira-kira jam 10.00 pagi selepas mengetahui tentang kejadian kerang timbul di pantai itu sejak semalam.
"Kami ramai-ramai ke sini cari kerang dan kami mandi tetapi saya hanya mandi di tepi pantai.
"Saya lihat Firdaus seronok mandi-manda sebelum ombak membawanya ke tengah,"katanya.
Ibu mangsa, Latifah Mohd Nor, 50, berkata, dia amat terkejut apabila dimaklumkan anaknya lemas dibawa ombak ke tengah laut ketika sedang mandi bersama rakan-rakan.
"Dia (Firdaus) keluar rumah kira-kira jam 9.30 pagi bersama rakan-rakannya tetapi saya tidak tahu dia ke pantai.
"Memang dia biasa ke pantai tetapi tidak pernah mandi kerana cuaca sekarang agak bahaya. Apabila dimaklumkan oleh rakannya tentang kejadian itu saya terus ke tepi pantai.
"Ketika mayatnya diangkat saya berada di sana dan saya redha dengan musibah ini walaupun ia satu kejutan yang tidak disangka-sangka," katanya.-sinaronline
0 Response to "Pesta Mengutip Ribuan Kerang Terdampar Di Pantai Sura Berakhir Dengan Trajedi"
Post a Comment