Minggu lalu netizen dikejutkan dengan penyebaran video di laman maya media sosial dengan video dimana seorang wanita telah menyerang pasangan pengantin yang dikatakan pengantin lelaki itu adalah masih lagi suaminya yang sah.
Dalam video yang berdurasi hampir 6 minit itu, wanita terbabit mendakwa dia telah ditinggalkan suaminya selama 3 bulan tanpa perkhabaran berita.
Lebih menyayat hati, suaminya telah menikahi wanita lain dan menganjurkan majlis kenduri yang turut sama dihadiri keluarga sebelah lelaki iaitu mertua kepada mangsa.
Mangsa di dalam video turut mendakwa dirinya seolah-olah ditipu apabila suami dan keluarga suaminya merahsiakan perkahwinan baru ini tanpa pengetahuannya selepas beberapa bulan mendiamkan diri.
Selang seminggu selepas tersebarnya video itu dan menimbulkan pelbagai spekulasi dikalangan netizen, semalam wanita ini tampil di laman Facebook beliau untuk menceritakan kisah benar disebalik apa yang berlaku.
Quyun Zulkifly dalam garis masa Facebooknya telah memuat nukilan sebenar disebalik kisah rumahtangganya bersama suami.
Dalam postingnya yang bertarikh 14 Februari ini benar-benar menceritakan liku hidupnya dalam melayari bahtera kehidupan bersama si suami.
Dalam posting yang mendapat jumlah share 2198 sehingga kini benar-benar membuka mata netizen dan menutup dakwaan segelintir masyarakat yang menuduh dan melempar kata-kata negatif terhadapnya.
Semoga perkongsian daripada beliau bakal menutup segala spekulasi dan persepsi kita terhadap kejadian yang berlaku pada 6 Februari yang lalu.
Seperti kata-kata Quyun Zulkifli di dalam postingnya,
Tidak ada seorang perempuan pun saat dia dinikahkan meminta dirinya diabaikan, disakiti, atau dikhianati…
Moga perkongsian dibawah memberi pengajaran dan beroleh manfaat kepada pembaca dalam kita melayari liku dan ranjau kehidupan ini. -HarianBlogger
Gambar dari Facebook Quyun Zulkifly
Aku Terima Nikhnya
Saat diri dihiasi dengan baju perkahwinan, muka diconteng dengan pelbagai warna. Debaran juga semakin terasa, dalam beberapa minit saja lagi saya akan menjadi isteri.
Berkumpul sanak saudara, adik beradik dan keluarga bakal mertua di rumah. Saat Tok Kadi berkata, “Dah sedia semua?” Jantung berdegup laju entah ke mana perginya.
Saat tangan bakal suami bersalaman dengan Tok Kadi, air mata saya mula bergenang.
“Aku nikahkan kau dengan ********** binti Zulkifly dengan mas kahwinnya RM**** tunai. Sah!!”
Alhamdulillah, dengan sekali lafaz, saya telah sah menjadi isterinya. Allahuakbar, air mata tanpa saya sedar mengalir tanpa henti. Kegembiraan tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Saat suami memandang wajah saya dengan linangan air mata, dalam hati saya bertanya “Betulkah dia suami saya yang kami akan hidup semati selepas ini?”
Bermulalah episod kehidupan kami sebagai suami isteri, susah senang hidup bersama, melalui pelbagai dugaan selepas berkahwin. Jatuh bangun bersama-sama, saat susah menangis bersama-sama, gembira bersama-sama di saat bahagia.
Bila hampir setahun perkahwinan, ada yang mula bertanya sudah ada ‘isi’ atau belum? Di saat itu juga mulalah hati ini semakin ‘down’. Bila diberitahu pada suami, dia kata “biarkanlah mereka, itu semua kan rezeki Allah,”. Hilang rasa sedih bila mendengar semua itu dari mulut suami.
Tahun Kedua Perkahwinan..
Rasa bahagia itu tinggi menggunung. Rasa bahagia yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Namun, kebahagiaan kami diuji dengan kehadiran orang ketiga yang datang menganggu.
15 Oktober 2015
Suami berkata dia mempunyai tugasan kerja di Melaka, untuk mencari rezeki halal, katanya. Lalu saya pun berkata, “Pergilah sayang,” walaupun naluri saya berkata itu dia pergi ke Melaka bukan untuk tugasan kerja.
Sampai satu saat, Allah beri petunjuk siapa suami saya yang sebenarnya. Allahuakbar, hancurnya hati saya ya Allah. Insan yang saya percaya, insan yang saya sayangi sanggup mengkhianat saya.
Apa salah dan dosa saya? Saya belajar untuk bersabar, pada pandangan orang, saya nampak kuat. Dari tutur kata, saya nampak gigih untuk terus senyum. Padahal semua itu hanya lakonan sahaja untuk menunjukkan pada orang yang saya ini hebat, tetapi hati saya sebenarnya sudah hancur berkecai, menangis setiap hari tanpa diketahui orang.
Berlagak cakap dengan keluarga mentua yang saya okay dan tidak kisah dengan apa yang dia buat. Padahal hati saya, ya Allah. Takkanlah keluarga mentua tidak sedar yang saya sedang bersedih dengan sikap anak mereka?
24 Disember 2015
Tarikh yang saya tidak akan lupa sehingga ke akhir hayat. Saya masih lagi isterinya yang sah, tetapi mengapa ini balasan yang mereka berikan pada saya? Betapa hancurnya hati, bagaikan nak mati terpaksa menerima hakikat.
3 Bulan suami pergi tanpa berita…
dan akhirnya mendapat khabar bahawa dia sedang bahagia bersama insan yang lain yang mempunyai ikatan sah.
6 Februari 2016
Saya datang sendiri melihat dengan mata saya sendiri betapa hebatnya suami duduk di pelamin bersama wanita lain. Begitu gah sekali majlis perkahwinannya.
10,000 tetamu dia boleh beri makan, tetapi saya seorang diabaikan selama tiga bulan tanpa sebutir nasi ditinggalkan?
Saya diabaikan dari 15 Oktober 2015 sehingga ke hari ini. Mana sifat perikemanusiaan? Tatkala baik mengambil anak orang, kenapa ini kesudahan yang dia berikan pada kami semua?
Begitu perit untuk saya menerima semua ini,
Lepaskanlah saya dengan cara baik…
Pulangkanlah saya dengan cara baik kepada keluargaku. Sebagaimana mereka merasa hari ini, begitu jugalah kami merasa apabila dikhianati sebelum ini.
Saya redha saat dihina, dicaci oleh orang yang rapat dan saya sayang. Hari ini, hinalah lagi, kecamlah lagi, cacilah lagi. Saya terima semuanya. Ramai lagi yang masih sayangkan saya dan menyokong saya.
Dulu, saya kalah kerana ramai yang mempercayai dia dengan sikap pembohongnya. Saya pejamkan mata, pekakkan telinga dan buat tidak tahu sebab saya tahu Allah ta’Ala sentiasa ada bersama.
Tidak ada seorang perempuan pun saat dia dinikahkan meminta diabaikai, disakiti, dikhianati,
Tiada seorang perempun pun yang inginkan maruahnya dipijak suami, kehormatannya tidak dilindungi atau harga dirinya tiada erti lagi,
Tiada seorang pun perempuan yang mahu melukut di tepi gantang. Mengharap simpati suami sendiri, mengemis kasih untuk menumpang…
Suami mungkin terlepas di dunia. Berlagak seperti raja, isteri diperlakukan seperti hamba. Nanti di mahkamah agung Allah, kamu akan ditanya tanpa mampu berhelah. Setiap tanggungjawab yang kamu tinggalkan, semua akan diadili walaupun sebesar kuman. -Quyun Zulkifly.
0 Response to "Kisah Sebenar Disebalik Berita Isteri Serang Suami Semasa Bersanding"
Post a Comment