Wanita Bertanyakan Syurga Sebelum Maut Kemalangan Bas


Malang tidak berbau, seorang wanita maut selepas bas ekspres yang dinaikinya bersama 27 penumpang lain terbabit dalam kemalangan di Kilometer 246.9 Lebuhraya Utara-Selatan, semalam.
Lebih memilukan mangsa, Zaiton Mohd Shariff, 59   dikatakan ketika dalam perjalanan pulang bercuti dari Pulau Langkawi.
Malah, seorang anaknya hiba mengenangkan perbualan adiknya bersama emaknya yang mempersoalkan sama ada beliau layak untuk masuk ke syurga nanti.
“Emak ada bertanya kepada adik (anak kedua) sebelum ini sama ada dia boleh masuk syurga atau tidak selepas mati nanti. Kami tidak mengesyaki apa-apa, namun rupa-rupanya pertanyaannya itu menjadi petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selamanya,” kata anak sulung mangsa, Suraya Sulaiman, 40.
Menurut Suraya, emaknya sangat rapat dengan anak-anak dan tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum pergi bercuti kecuali pertanyaannya sama ada boleh masuk syurga apabila mati nanti kepada adik.
“Ketika ingin pergi ke Langkawi, dia sangat gembira dan tidak sabar pergi bercuti di sana bersama beberapa orang saudara kami dan langsung tidak menunjukkan petanda pelik,” jelas Suraya lagi.
Bagaimana pun, jenazah mangsa akan dibawa ke Kampung Pulau Besar, Rembau, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.
Kejadian yang berlaku pada jam 2 pagi itu , Zaiton maut di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang iaitu Mohd Sukairi Wan Mustapha, 39, dan Mohamad Taufiq Osman, 23, parah.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, siasatan awal mendapati bas dalam perjalanan dari Perlis ke Putrajaya itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang besi di tepi lebuh raya.
Katanya, bas berkenaan yang gagal dikawal kemudiannya melanggar belakang treler terbabit menyebabkan bahagian hadapannya remuk teruk manakala mangsa yang berada di kerusi depan dipercayai tercampak ke bahagian depan bas. - MYNEWSHUB.CC

0 Response to "Wanita Bertanyakan Syurga Sebelum Maut Kemalangan Bas"

Post a Comment