KUANTAN – Seorang penunggang motosikal maut dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 23, Jalan Kuantan-Sungai Lembing, berhampiran Jambatan Sungai Atong, dekat sini, semalam.
Lebih menyedihkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pemandu kereta, Azhar Husin, 32, adalah adik mangsa sendiri yang menyedari motosikal berkenaan adalah milik abangnya.
Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Deputi Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, ketika kejadian, mangsa Azhari Husin, 37, yang beralamat di Kampung Jelihang, Sungai Lembing dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai terlanggar belakang sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan.
“Mangsa kemudiannya dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Azhar yang datang dari arah Sungai Lembing menuju ke bandar,” katanya.
Akibat rempuhan itu, katanya, mangsa yang juga Pembantu Am Rendah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) parah di kepala dan anggota badan sebelum disahkan sudah meninggal dunia sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)di sini, untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan siasatan awal mendapati penunggang motosikal dan pemandu kereta Perodua Myvi adalah adik beradik.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas mangsa terlanggar belakang kereta Toyota Vios menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar pula oleh kenderaan di belakang.
Mohd Noor berkata, pihaknya sudah merekodkan keterangan pemandu dan saksi kejadian untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian Online
0 Response to "Sedih..Adik Terlanggar Abang Sendiri Sampai Maut Di Kuantan"
Post a Comment