Kuala Berang: Kegembiraan 40 sekeluarga bercuti di atas rumah bot di Sungai Lawit, Tasik Kenyir, dekat sini, berakhir tragedi apabila seorang ahli keluarga mereka yang berusia sembilan tahun maut, selepas bot laju dinaiki mereka terbalik, 10 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd Daniel Rosapawi yang menaiki bot laju bersama bapa saudara dan dua sepupunya dalam perjalanan ke sebuah lokasi untuk mandi manda, sebelum bot dipandu seorang lelaki hilang kawalan dan terbalik.
Sebelum kejadian, mangsa bersama kira-kira 40 ahli keluarganya yang lain bercuti dengan menaiki dua rumah bot dan berlabuh di Sungai Lawit kira-kira jam 6 petang kelmarin.
Selepas bermalam di atas rumah bot berkenaan, mangsa bersama dua sepupu dan bapa saudaranya merancang untuk mandi manda, sebelum menaiki sebuah bot laju kira-kira jam 10 pagi untuk ke lokasi sesuai.
Bagaimanapun, selepas kira-kira 50 meter bot laju berkenaan meninggalkan rumah bot, bot laju itu tiba-tiba hilang kawalan dan terbalik menyebabkan kesemuanya tercampak ke dalam air.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, kejadian menimpa mangsa disedari seorang pemancing yang memancing tidak jauh dari lokasi kejadian, sebelum memanggil beberapa rakannya untuk membantu mangsa.
"Pemancing itu dan beberapa rakannya berjaya membantu menaikkan semua mangsa yang memakai jaket keselamatan. Bagaimanapun, Mohd Daniel tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia tidak lama kemudian," katanya.
Menurutnya, mayat Mohd Daniel yang juga murid Sekolah Kebangsaan Jerangau Barat itu kemudian dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat, sebelum dituntut ahli keluarga mangsa untuk urusan pengebumian.
Sementara itu kakak mangsa, Nor Aisyatul Aziera Rosapawi, 15, yang turut menyertai percutian itu berkata, dia ternampak bot laju berkenaan terbalik, namun tidak menyangka sehingga meragut nyawa adik lelakinya itu kerana semua mereka memakai jaket keselamatan.
Dia yang masih bersedih dengan kejadian menimpa adiknya berkata, Mohd Daniel tinggal dengan neneknya, Che Samariah Omar, 59, sejak ibu bapa mereka berpisah kira-kira setahun lalu.
0 Response to "Cuti keluarga di Tasik Kentir berakhir tragedi "
Post a Comment