MH17: Topeng Oksigen Masih Di Mayat Ketika Dijumpai


SEORANG penumpang pesawat Penerbangan Malaysia MH 17 didapati masih memakai topeng oksigen ketika mayatnya dijumpai di timur Ukraine.

Menteri Luar Belanda Frans Timmermans mengeluarkan kenyataan itu dalam satu program bicara Belanda, ‘Pauw’ kelmarin

Kenyataan itu menimbulkan persoalan mengenai apa yang berlaku pada saat akhir pesawat Boeing 777 itu yang didakwa ditembak oleh peluru berpandu di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, di kawasan dikuasai pemisah pro-Russia.

Ini kerana, ada penumpang yang mampu memakai topeng oksigen mengetepikan idea bahawa semua 298 orang terbunuh serta-merta di udara, memetik laporan CNN.


“Mereka tidak nampak peluru berpandu itu menuju ke arah mereka, tapi ada mangsa yang dijumpai dengan topeng oksigen di mukanya. Ini menunjukkan dia mempunyai masa untuk berbuat demikian,” kata Pendakwaraya Belanda mengesahkan cerita menteri berkenaan.

Pejabat Pendakwaraya dalam satu kenyataan semalam turut menyatakan ketika proses pengecaman dilakukan, topeng oksigen itu memang dijumpai pada mangsa.

“Topeng itu dipasang pada leher mangsa dengan tali elastik. Institut Forensik Belanda memeriksa topeng itu untuk mendapatkan cap jari, air liur dan DNA, tetapi keputusannya tidak dapat dimuktamadkan,” katanya.


Justeru, tambahnya, tidak diketahui bagaimana dan bila topeng itu dipasang pada leher mangsa. Kaum keluarga penumpang terbabit dimaklumkan pada masa berkenaan. Tiada seorang pun daripada mangsa lain yang dijumpai didapati memakai topeng oksigen.

Amerika Syarikat dan Ukraine masing-masing menuduh pemisah pro-Russia menembak jatuh pesawat terbabit dengan peluru berpandu, tuduhan yang dinafikan oleh pemberontak berkenaan.

Satu laporan awal oleh Lembaga Keselamatan Belanda bulan lalu menyokong teori ini, yang menyatakan pesawat terbabit dirempuh objek berkelajuan tinggi tetapi tidak menuding jari kepada sesiapa.

Kira-kira dua pertiga daripada mangsa yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada warga Belanda.

Pesawat itu sedang melakukan penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur

0 Response to "MH17: Topeng Oksigen Masih Di Mayat Ketika Dijumpai"

Post a Comment