DIKHABARKAN Terengganu akan mendapat menteri besar baru tidak lama lagi. Mengikut laporan The Star, penyandangnya sekarang, Ahmad Said akan ditamatkan tempoh perkhidmatannya dan dua nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya ialah Adun Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Adun Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.
Apa yang lebih mengejutkan ialah penggantian menteri besar ini dikatakan kerana Ahmad Said mempunyai perjanjian dengan Perdana Menteri, Najib Razak bahawa beliau telah bersetuju untuk memegang jawatan itu untuk tempoh setahun saja selepas pilihan raya umum 5 Mei 2013 lalu.
Dengan itu, pengumuman siapa Menteri Besar Terengganu yang baru dijangka akan diumumkan antara 15 hingga 18 Mei ini sementara mendapat persetujuan daripada Istana Terengganu.
Memanglah tiada salahnya dan merupakan hak Najib untuk menukar mana-mana menteri besar atau pemimpin lain yang dikehendakinya.
Beliau boleh menukarnya dengan apa saja alasan atau tanpa alasan sekali pun. Itulah kelebihan sebagai Perdana Menteri.
Tetapi yang ingin diketahui ialah benarkah Ahmad Said ada perjanjian tamat tempoh dengan Najib?
Apakah pula alasan perjanjian itu dibuat, adakah kerana prestasi buruk Umno Terengganu dalam pilihan raya umum lalu dan untuk menyuntik semangat baru menghadapi PRU14, maka seorang pemimpin baru perlu dilantik atau ia bertujuan menamatkan krisis berterusan antara puak Ahmad Said dengan Idris Jusoh?
Jika benar Ahmad Said ada perjanjian tamat tempohyang perlu dipatuhi, bagaimana pula dengan pemimpin negeri yang lain?
Tidakkah Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman yang lebih lama berkhidmat dan turut dilanda pelbagai masalah dalaman, juga sebenarnya perlu menandatangani perjanjian tamat tempoh yang sama?
Begitu juga, bagaimana pula dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan, Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir dan lain pemimpin-pemimpin negeri yang turut mempunyai masalah tersendiri?
Andainya hanya Ahmad Said yang diperlukan menandatangani perjanjian tamat tempoh dengan Najib, tentulah ia terlihat sesuatu yang tidak adil walaupun karektor dan kepimpinannya di negeri Terengganu menimbulkan banyak masalah di negeriitu.
Ini kerana bukan Terengganu saja yang memerlukan suntikan semangat baru bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, tetapi banyak negeri lain juga memerlukan perkara yang sama.
Jika begitu, selain menukar Menteri Besar Terengganu, Najib sebenarnya perlu memberi perhatian yang seimbang untuk menukar ketua kerajaan di negeri yang lain juga.
Serentak dengan itu, kelemahan Umno dan BN juga sebahagiannya adalah berpunca daripada prestasi, sikap dan perangai menteri-menteri di peringkat pusat yang banyak menjadi pertikaian rakyat.
Mereka bukan saja menunjukkan prestasi lemah, masih bersikap sombong dan angkuh, tidak memperdulikan rakyat sebaiknya serta gagal menunjukkan mereka itu sebagai seorang pemimpin dalam erti kata yang sebenarnya.
Kiranya Najib benar-benar ingin menyuntik semangat baru dan mahu memperlihatkan kerajaannya benar-benar berubah, beliau juga sebenarnya perlu melihat dengan serius prestasi menteri dan timbalan menteri di bawah pentadbirannya serta tidak teragak-agak untuk membuang "sampah-sarap" yang membebankannya itu.
Walaupun Ahmad Said menafikan khidmatnya sebagai menteri besar akan ditamatkan dengan berkata, setahunya beliau akan berkhidmat sehingga 2018 manakala Ketua Penerangan Umno Terengganu, Senator Abdul Rahman Bakar pula mengatakan Najib telah berjanji dalam mesyuarat MT Umno dua minggu lalu bahawa Ahmad Said akan terus kekal mengetuai kerajaan Negeri Terengganu, hakikatnya tiada masalah jika pertukaran itu ingin dilakukan.
Cumanya, pertukaran itu mestilah disusuli dengan pertukaran di beberapa negeri lain serta rombakan yang serius di peringkat pusat.
Itu pun, jika Najib benar-benar serius mahu menyuntik semangat baru dan masih mempunyai keinginan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang yang masih berbaki tempohnya empat tahun lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "BONGKAR! Punca MB Terengganu Ahmad Said Letak Jawatan....."
Post a Comment