Zizan lelaki pertama saya bawa jumpa ayah - Emma Maembong


KUALA LUMPUR: Kisah percintaan di antara pelakon cantik Emma Maembong dan pelawak popular Zizan Razak bukan lagi rahsia kerana akhirnya Emma Maembong membuat pengakuan kepada media tentang perkara itu.

Aktres kacukan Melayu-Scotland ini ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk kecantikan Maixara di Menara Kuala Lumpur, mengaku tidak mahu lagi berselindung tentang hubungannya dengan Zizan.

“Selama ini bukan Emma sengaja nak rahsiakan hubungan kami walaupun dah timbul macam-macam spekulasi dan kontroversi.

“Cuma ketika itu saya tak berani nak buat apa-apa kenyataan kerana ketika itu kami memang kawan rapat. Lagipun saya kenal Zizan dah lama kerana kami sekampung dan berjiran. Kami rapat selepas masing-masing bergelar artis.

“Saya juga tidak mahu terlalu menjaja tentang hubungan kami ketika itu sebab takut kalau tak jadi…malu. Buat masa ini saya dan Zizan masih lagi diperingkat mengenali hati budi. InsyaAllah, ada jodoh kami, saya akan beritahu kepada semua,” katanya.

Kata Emma, dia dan Zizan masih belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini dan tidak pernah membincangkan tentang perkara itu buat masa sekarang.

Bagaimanapun dia telah membawa Zizan bertemu dengan bapanya dan bersyukur kerana kekasihnya itu disenangi seluruh ahli keluarga.

“Zizan lelaki pertama saya bawa jumpa ayah. Sebelum ini saya tak pernah bawa mana-mana kawan lelaki jumpa dengan ayah saya.

“Paling kelakar bila ayah tak kenal Zizan dan tak tahu Zizan artis. Bila Zizan bercakap loghat Terengganu, mereka terus mesra dan rancak berbual.

“Tapi ayah jadi hairan sebab semasa kami berjalan sama, ramai orang mahu bergambar dengan Zizan. Dalam diam ayah ‘siasat’ tentang Zizan dan akhirnya dia tahu anaknya berkawan dengan artis,” cerita Emma.

Tambah Emma lagi dia gembira kerana ayahnya tidak pernah menghalang hubungannya dengan Zizan cuma berpesan supaya menjaga batas dan pergaulan.

Perkembangan lain, Emma bakal bercuti sepanjang April ini dan tidak mengambil mana-mana tawaran berlakon.
“Saya mahu berehat dan luangkan masa bersama keluarga kerana rasanya sudah lama tidak bersama mereka,” katanya mengakhiri perbualan.

0 Response to "Zizan lelaki pertama saya bawa jumpa ayah - Emma Maembong "

Post a Comment