Pemandu treler maut tersepit


KUALA NERUS - Seorang pemandu treler maut akibat tersepit setelah kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan ngeri di persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 berdekatan Kampung Gemuroh, Tepuh, di sini, semalam.

Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 petang itu, mangsa terpaksa dikeluarkan menggunakan bantuan jengkaut setelah treler dipandunya bertembung dengan lori membawa muatan makanan ayam.

Mangsa berusia 44 tahun yang membawa muatan kabel elektrik dari arah LPT menuju ke pusat bandar itu dikatakan hilang kawalan sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat.
Sehubungan itu, treler dipandu mangsa dikatakan merempuh belakang lori terbabit yang datang dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu.

Sinar Harian difahamkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu menggunakan peralatan rescue cutter serta ram.

Mangsa yang beralamat di Sungai Petani, Kedah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana tersepit berikutan bahagian hadapan kenderaan dipandunya remuk teruk akibat rempuhan kuat berkenaan.

Kelindan yang turut berada dalam treler berkenaan dikejarkan ke hospital akibat cedera parah, manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

0 Response to "Pemandu treler maut tersepit"

Post a Comment