IPOH – “Bunyi dentuman kuat di belakang lori dan suara orang menjerit telah mengejutkan saya,” demikian menurut pemandu lori Abu Mansor Mohd, 45, yang kenderaanya terlibat dengan kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan utara berhampiran Gua Tempurung di Kampar, awal pagi ini.
Kemalangan pada 1.10 pagi itu, mengakibatkan anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh, 74, dan pembantu peribadinya Michael Cornelius maut di tempat kejadian.
Ekoran itu, Abu Mansor berkata beliau memberhentikan kenderaannya dan melihat kenderaan serba guna (MPV) yang dinaiki lima penumpang melanggar bahagian belakang kanan lori berkenaan.
“Keluar dari lori, saya terkejut setelah melihat MPV itu rosak teruk dan terdapat mangsa yang cedera,” katanya ketika pemberita di sini hari ini.
Abu Mansor berkata pada mulanya beliau tidak mengetahui seorang daripada lima mangsa yang berada di dalam kenderaan itu adalah bekas Pengerusi DAP.
“Orang ramai yang berhenti di tepi jalan untuk melihat kejadian itu memberitahu saya Karpal Singh berada di dalam kenderaan itu,” katanya.
Menurut Abu Mansor, beliau memandu perlahan di bahagian kiri jalan ekoran keadaan jalan yang berbukit.
Beliau yang berasal dari Petaling Jaya berkata, beliau sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menghantar barang antaranya simen dan mozek turut bersama isterinya Nur Azlina Ahmad, 23, serta seorang kanak-kanak Nurieman Diana Qhaleesha Abdullah, 4.
Kemalangan itu turut mengakibatkan pembantu rumah Karpal, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak.
Sementara anak lelaki bekas pemimpin DAP itu, Ramkarpal Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV C. Selvam, 27, yang merupakan warga India tidak mengalami kecederaan.
Abu Mansor pula hanya cedera ringan manakala dua penumpang lain tidak cedera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata saringan awal ujian air kencing bagi mengesan dadah dibuat ke atas Abu Mansor selepas polis mengambil keterangan daripadanya.
“Bagaimanapun, Abu Mansor dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Ng, ujian makmal akan dilakukan bagi mempoleh keputusan yang lebih tepat.
Beliau berkata polis juga akan menjalankan saringan ujian air kencing terhadap pemandu kenderaan MPV C.Selvam, dalam masa terdekat.
0 Response to "Pemandu Lori Terkejut Dengar Jeritan, Dentuman"
Post a Comment