Sunday, 12 January 2014
Berita
Ukiran songsang cermin
"SAYA ingin cari kepuasan dalam kerjaya. Bukan tidak mahu makan gaji seperti orang lain, tapi rasa lebih terkesan dengan apa yang saya usahakan," kata Sirajudeen Kamal Batcha, 30, ketika memulakan bicara.
Beliau yang menceburi bidang mengukir cermin secara serius sejak dua tahun lalu berasa yakin jika usaha dilakukan bersungguh-sungguh terhadap apa yang dilakukan boleh mendatangkan hasil. Ini terbukti apabila karyanya diiktiraf Malaysia Books Of Record kerana mampu menyiapkan ukiran di cermin selama 58 hari.
"Pada awal-awal dulu, tiada siapa yang memahami kerjaya saya, waima ibu bapa sekalipun. Namun apabila melihat kesungguhan saya, mereka kini boleh terima dengan apa yang saya lakukan," jelasnya. Baginya, pengiktirafan tersebut bukan sahaja pencapaian penting untuk diri sendiri malah penanda aras kepada individu lain pada masa akan datang.
Bercerita lanjut penglibatannya, Sirajudeen berkata, 2011 adalah tahun penting untuk beliau kerana memulakan kerjaya sebagai artis sepenuh masa.
"Saya menggunakan teknik ukiran songsang dan medium utama adalah cermin. Saya juga mendapat bantuan dana RM20,000 sumbangan Yayasan Kemajuan Islam Nasional (Yakin)," katanya.
Beliau juga sering menyertai pameran sama ada berkumpulan mahupun solo serta beberapa pertandingan seni visual di seluruh negara yang secara langsung menonjolkan karyanya.
"Kebanyakan orang lebih mengenali karya berbanding nama saya. Bagi saya ia sudah memadai apabila karya ini mendapat tempat di hati mereka.
"Saya mengambil tempahan mengukir cermin berbentuk islamik seperti ayat al-Quran serta kalimah ALLAH, Muhammad, mahupun apa sahaja jenis visual mengikut cita rasa pelanggan," katanya.
Tampilkan kelainan
Sirajudeen berkata, pertemuan dia dan pemilik syarikat Karya Kufi, Ahmad Suhaili Hassan memberi dimensi baru kepada kerjayanya. Ketika itu, Ahmad Suhaili mempelawa dirinya menghasilkan ukiran cermin khat kufi ayatul Kursi sebagai produk baru syarikatnya.
"Saya amat tertarik dengan khat kufi ciptaan Ahmad Suhaili kerana ia unik serta mempunyai bentuk kiub (segi empat).
"Banyak perkara kami berkongsi bersama terutama idea serta produk syarikat beliau yang mula mendapat tempat di hati masyarakat yang sukakan konsep Islamic Modern Art. Saya banyak hasilkan sampel ukiran cermin untuk beliau atas dasar consignment,"katanya.
Mengimbau kisah silamnya, anak kelahiran Alor Setar, pasangan Kamal Batcha dan Rameeshal Beevi ini menyedari bakat seni dalam dirinya sejak kanak-kanak.
"Walaupun masih kecil, lukisan saya sering mendapat pujian rakan-rakan dan guru. Namun membimbangkan arwah ayah kerana saya terlalu fokus melukis dan mewarna daripada mengulang kaji pelajaran," katanya.
Tambahnya, pada 2002, dia meneruskan pengajian ke Kolej Unikop dalam jurusan Rangkaian Komputer tahap satu sijil kemahiran MLVK. Tahun berikutnya meneruskan pengajian ke Prime College Segi dalam jurusan Pelukis Pelan Kejuruteraan sijil kemahiran tahap satu dan dua MLVK.
"Selepas tamat pengajian pada 2003, saya memulakan kerjaya sebagai pelukis pelan rendah di salah sebuah syarikat kejuruteraan di Pandan Indah selama dua tahun, kemudian meneruskan kerjaya sebagai perunding acara selama setahun," katanya.
Oleh kerana terlalu ramai artis menghasilkan karya di atas kanvas, Sirajudeen terfikir untuk berkarya melalui medium baru dan memilih cermin.
"Saya ingin membentuk identiti tersendiri dalam seni visual kerana itu sahaja cara untuk mempelbagaikan cabang seni ini,"katanya.
Jelasnya, sebagai permulaan, dia menghasilkan karya di mounting board. Walaupun mempunyai kelainan tapi medium tersebut tidak tahan lama dan kurang sesuai untuk pameran.
"Saya tidak mendapat kepuasan berkarya semasa menggunakan mounthing board. Secara kebetulan saya melihat rakan saya menghasilkan ukiran cermin dengan teknik konvensional untuk dijadikan perhiasan. Ukiran cermin menarik perhatian dan saya memerhatikan cara kerja dan teknik digunakan,"katanya. Kaedah digunakan rakannya adalah mengukir bahagian belakang cermin untuk membuang selaput aluminium dan menabur serbuk gold dust untuk menonjolkan hasil seni.
"Perkara ini secara tidak langsung memberi ilham kepada saya untuk menginovasi teknik ukiran cermin dengan cara tersendiri. Saya ambil masa dua tahun untuk mahirkan diri mengukir cermin guna teknik songsang,"katanya.
Ujarnya, sepanjang dua tahun terlibat dalam seni visual, beliau menyertai 10 pameran berkumpulan dan lima pertandingan. "Hanya dua karya memenangi pertandingan dan satu karya sahaja dijual secara komersial, saya kini menawarkan RM350,000 untuk ukiran ALLAH dan Muhammad siap bersama bingkai," katanya.songsang
0 Response to "Ukiran songsang cermin"
Post a Comment