Saturday, 11 January 2014
Berita
Taubat jika niat puja si mati
KUALA TERENGGANU - Imam Besar Masjid Negeri, Aizi Saidi Abdul Aziz menyifatkan perbuatan cuba menjadikan anggota badan si mati sebagai perantaraan pemujaan tidak sepatutnya berlaku dan mereka yang mempunyai niat begitu perlu bertaubat segera.
“Mereka yang ada niat sedemikian perlu segera meninggalkan perbuatan itu kerana ia adalah perbuatan syirik yang mendapat kemurkaan ALLAH SWT. Ia adalah salah satu dosa besar yang mana jika dia seorang Islam, Islamnya tidak sampai dan amalannya tidak diterima.
“Saya menegah sekiranya ada dalam kalangan kita mempunyai niat untuk melakukan perbuatan itu kerana jenazah orang yang sudah meninggal dunia perlu dihormati, tidak kira dia seorang bayi atau siapa pun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kubur bayi yang dilaporkan berlubang di bahagian kepala sebagaimana disiarkan Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Pengasas Pusat Rawatan Islam At Tobibi, Datuk Shamsuri Shafie berkata, kejadian kubur bayi berlubang seperti digali kelmarin dipercayai dilakukan individu bagi memenuhi syarat untuk amalan khurafat.
Menurutnya, banyak kes sedemikian berlaku dan kebiasaannya mereka yang melakukan perbuatan itu bertujuan mendapatkan organ atau anggota jenazah bayi seperti kepala untuk dipuja.
“Biasanya, pengamal ilmu hitam melakukan perkara ini untuk mengenakan orang lain. Dalam kes yang pernah berlaku, kepala bayi diambil untuk dibakar pada bahagian dagu bayi bagi mendapatkan minyak dipanggil minyak dagu.
“Bayi yang menjadi mangsa pula kebiasaannya dilahirkan pada malam Selasa dan ibunya juga dilahirkan pada malam Selasa. Ini menunjukkan pengamal ilmu hitam benar-benar teliti dalam menyasarkan mangsa,” katanya.
Katanya lagi, kes sebegitu banyak juga berlaku di negara jiran seperti Thailand apabila bayi yang sedang tidur di dalam buaian yang dikenal pasti lahir pada malam Selasa akan diculik dan dibunuh untuk dipuja.
“Ini kes yang biasa berlaku di negara jiran yang terkenal dengan amalan ilmu hitam. Bayi yang dipilih pula kebanyakannya yang belum mencecah usia setahun.
“Sebab itulah kita minta supaya masyarakat lebih berhati-hati dan berwaspada, sentiasa lindung diri dengan doa serta amalan yang dapat menjauhkan diri daripada niat jahat.
“Keluarga mangsa juga dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan menjaga kubur bayi itu daripada diceroboh. Banyakkan berdoa agar dijauhi daripada perkara yang tidak baik,” katanya.
Sementara itu, pihak polis percaya tiada unsur khianat berhubung kewujudan lubang di kubur bayi berkenaan.
Bagaimanapun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, siasatan lanjut berhubung insiden itu tetap dijalankan.
“Setakat ini, kita tidak lihat ada unsur khianat dalam kes ini berikutan keranda masih berada dalam keadaan baik, namun hanya sebahagian tanah yang hilang.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan berlaku mendapan tanah atau sebaliknya, namun kita akan terus menyiasat kejadian ini,” katanya.
0 Response to "Taubat jika niat puja si mati"
Post a Comment