Wednesday 15 January 2014
Berita
Tarikan Aku Ada Wali
DRAMA bersiri baharu, Aku Ada Wali kini menemui penggemar drama Melayu setiap hari Selasa, jam 10 malam di stesen TV Alhijrah.
Berbeza dengan drama adaptasi lain, drama 13 episod ini disiarkan terlebih dahulu sebelum novel tulisan Fatimah Syarha Mohd Noordin dipasarkan.
Menampilkan beberapa pelakon tersohor seperti Siti Saleha, Zahiril Adzim, Zoey Rahman, Aida Jebat dan Sabhi Sadhi, drama ini mengisahkan pendirian seorang gadis dalam bertemu jodohnya.
Turut memaparkan kisah cinta berlandaskan ajaran Islam dan Sunnah Rasulullah, pengarah drama tersebut, Aidilfitri Mohamed Yunos berkata, biarpun drama itu menekankan ajaran Islamik, namun ia tidak terlalu berat dengan kisah keagamaan.
Ujarnya, dia mahu keperibadian karakter pelakon utama iaitu Siti Saleha dapat dicontohi oleh golongan wanita di luar sana.
“Watak yang saya tampilkan dalam diri Saleha sebagai wanita yang tegas, berdisiplin dan berpegang kepada ajaran Islam.
“Ciri-ciri yg ada padanya telah membuatkan ramai jejaka terpaut dengan keperibadiannya selain memiliki kecantikan semula jadi,” katanya yang menjalani penggambaran selama 15 hari di Korea.
Cabaran cuaca sejuk
Memilih Korea Selatan sebagai lokasi utama penggambaran, Aidilfitri berkata, dia mampu menarik nafas lega kerana proses penggambaran tetap berjalan lancar, meskipun negara itu majoriti penduduknya bukan beragama Islam.
Katanya, tiada masalah dari segi pemakanan kerana terdapat restoran Melayu sekitar bandar Seoul dan banyak pilihan makanan seperti makanan laut dan sayuran.
“Walaupun ada pelakon yang tidak makan kimchi atau masakan Korea, mereka mempunyai pilihan lain.
“Masakan halal juga boleh didapati dengan mudah. Jadi kami tiada masalah dalam soal pemakanan,” katanya yang turut menjalani penggambaran di lokasi menarik seperti Seoul dan Busan.
Namun, Aidilfitri berkata, ketika penggambaran dijalankan, cuaca di sana sangat sejuk.
Katanya, pelakon terpaksa memakai pakaian tebal setiap masa kerana suhu mencecah di bawah paras beku.
“Biarpun sejuk namun pemandangan begitu cantik dengan adanya salji yang memutih.
“Suasana begini tampak lebih menarik di lensa kamera dan ia memberikan satu perasaan yang sukar digambarkan.
“Kami tidak kisah walaupun terpaksa menahan kesejukan dan pelakon sangat komited dengan tugasan masing-masing,” katanya.
Selain suhu di bawah paras beku pada siang hari, Aidilfitri berkata, waktu siang lebih pendek berbanding malam dan suhu waktu malam lebih sejuk.
Tambahnya, dia sangat bersyukur kerana pihak pelancongan Korea Selatan begitu prihatin dan sudi membantu mereka untuk mendapatkan lokasi menarik.
Kagumi sistem pendidikan
Dalam masa sama, Aidilfitri berkata, dia kagum dengan sistem pendidikan yang diamalkan kerajaan Korea Selatan.
Katanya, walaupun ekonomi mereka lebih tinggi daripada negara kita, rakyat mereka juga diterapkan dengan soal kebersihan.
“Sukar untuk kita lihat persekitaran yang kotor atau sampah sarap di merata tempat.
“Mereka begitu disiplin dan sangat menghormati orang yang lebih tua,” katanya.
Tambahnya, selain mengamalkan undang-undang yang tegas mereka juga sangat mementingkan aspek pendidikan.
“Pelajar di sini bijak membahagikan masa mereka antara belajar dan kerja sambilan.
“Mereka tidak membuang masa melepak atau terlibat dengan aktiviti sosial sebaliknya menggunakan waktu lapang dengan aktiviti bermanfaat,” katanya.
Sebagai bukti, Aidilfitri berkata, universiti Korea memiliki pelbagai kemudahan untuk pelajarnya.
“Bukan sahaja kemudahan untuk belajar, bahkan aktiviti sukan atau riadah untuk membantu perkembangan minda pelajar,” ujarnya.
0 Response to "Tarikan Aku Ada Wali"
Post a Comment