Selindung di sebalik nama tahfiz


KUALA KANGSAR - Kegiatan meminta derma yang dilakukan beberapa kanak-kanak di sekitar kawasan Kuala Kangsar, mencetuskan kebimbangan kepada penduduk setempat kerana kehadiran mereka menimbulkan pelbagai persoalan.

Antara persoalan yang timbul setiap kali melihat kanak-kanak itu meminta derma adalah berkenaan status mereka dan adakah kegiatan mereka itu dibenarkan atau mereka hanya diperalatkan oleh sesetengah pihak.

Hasil maklumat orang awam, Sinar Harian meninjau beberapa kawasan yang dikatakan menjadi 'port' untuk anak kecil ini melaksanakan tugas mereka.

Daripada tinjauan yang dilakukan, didapati beberapa remaja lelaki dan perempuan dalam lingkungan usia 12 hingga15 tahun berlegar-legar di kawasan itu dan memasuki restoran serta kedai dipercayai untuk  meminta derma.

'Ustaz, ustazah suruh buat'

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Hakimi berkata, dia pernah didatangi seorang remaja  lelaki berusia 13 tahun ketika sedang makan di sebuah restoran.

Remaja itu datang ke mejanya untuk mengutip derma bagi sebuah sekolah tahfiz yang terletak di Kedah dan menurut remaja itu, dia bersama beberapa rakan diarahkan untuk berbuat demikian.

Hakimi berkata, dia bertanya beberapa soalan kepada remaja itu kerana ingin mengetahui kisah di sebalik derma yang diminta remaja terbabit.

“Remaja itu baharu sahaja masuk ke sekolah tahfiz itu dan diminta oleh ustaz dan ustazah di sekolah itu untuk mengutip derma di sekitar Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping. Ada kawan-kawannya yang lain datang
dari Kedah dan tiba di situ sejak petang. Mereka disuruh mengutip derma di tempat yang mereka ditinggalkan.

“Setelah selesai, ustaz dan ustazah akan mengambil kanak-kanak dan remaja ini di tempat yang ditetapkan dan biasanya mereka habis ‘kerja’ pada tengah malam,” katanya.

Tambah Hakimi, dia membuat keputusan untuk mengiringi remaja itu ke tempat yang dijanjikan dengan pihak sekolahnya dan mendapati sebuah kereta jenis Proton Exora sudah berada di hadapan sebuah pasar raya.

“Saya dapati ramai kanak-kanak dan remaja sebayanya di dalam kereta yang dipandu seorang wanita (dipercayai ustazah). Malah, di sebelah pemandu itu juga kelihatan anak kecil berusia lingkungan tiga ke empat tahun sedang tidur di tempat duduk penumpang.

“Saya terus bertanya kepada pemandu itu dan daripada jawapan yang diberikan, saya berpendapat apa yang mereka lakukan itu salah di sisi undang-undang.

“Selepas saya tanya banyak soalan, wanita itu berasa tidak selesa dan bertindak menamatkan perbualan kami,” katanya.
Paksa orang awam beri wang
Sementara itu, Mohamad Ansar Shamsuddin, 26, pula berkata, dia sering terserempak dengan orang meminta derma dan sedekah di sekitar Kuala Kangsar.
Malah, katanya, ada segelintir peminta sedekah yang bertindak keterlaluan dengan memaksa orang awam untuk memberikan wang kepada mereka.
“Selalu juga nampak peminta derma berlegar-legar di pekan. Ada juga yang bersifat agresif ketika meminta wang sehingga menimbulkan rasa kurang selesa kepada penduduk.

“Tapi saya kasihan melihat ada budak kecil yang meminta derma untuk sekolah mereka. Adakah tindakan mereka itu dibenarkan?” katanya.

Menurutnya, kegiatan itu sudah lama dan semakin berleluasa serta ada antara mereka yang memberitahu kutipan derma yang dibuat adalah sebahagian daripada sukatan pembelajaran mereka.

“Terkejut juga bila dengar kutipan derma yang dilakukan itu termasuk dalam sukatan pembelajaran mereka,” katanya.

JKM buat operasi banteras
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah, Noor Syafazlin Aida Bidres memaklumkan pihaknya akan menjalankan operasi bersepadu dalam masa terdekat bagi membanteras gejala
tersebut.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memikirkan keselamatan kanak-kanak  itu dan berusaha untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjaga.

"Kita bimbang  bila  kanak-kanak itu keluar malam dan pergi ke kawasan yang berisiko akan berlaku kejadian tidak diingini.

“Sepatutnya tindakan diambil kepada pihak sekolah yang mengarahkan  kanak-kanak  itu mengutip derma kerana semuanya bermula dari sekolah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mempergunakan kanak-kanak untuk meminta derma adalah satu kesalahan dan boleh disabitkan di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

“Sekiranya pihak sekolah atau ibu bapa sengaja membiarkan anak dan pelajar mereka terdedah dengan bahaya, itu saja sudah cukup untuk mereka disabitkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

0 Response to "Selindung di sebalik nama tahfiz"

Post a Comment