Penoreh ditemui mati dalam semak


GEMAS – Mayat seorang penoreh getah ditemui di dalam kawasan semak bersama motosikalnya, lebih satu kilometer dari jalan utama untuk memasuki ke kebun getahnya di Felda Sungai Kelamah, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa, Zaini Arman, 75, dipercayai terjatuh semasa pergi ke kebun getahnya ditemui seorang penduduk yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Penduduk berkenaan, Razali Mohd Sharif, 53, berkata, ketika melalui jalan berkenaan dia ternampak motosikal mangsa berada dalam semak.

Selepas itu, katanya, dia memberhentikan motosikal dan terkejut apabila ternampak seorang lelaki di bawah motosikal berkenaan.

“Pada awalnya saya tidak berapa cam motosikal itu. Namun, sebaik menghampiri dan terlihat mangsa, saya mengenalinya kerana sering terlihat mangsa di masjid setiap kali menunaikan solat Jumaat.

"Selepas itu, saya segera menghubungi rakan bagi membantu memaklumkan kepada pihak polis, keluarga mangsa dan penduduk kampung berdekatan memandangkan mangsa merupakan peneroka asal Felda Sungai Kelamah seawal tahun 1969," katanya.

Sementara itu, anak keempat mangsa, Zuneidi Zaini, 42, dia menerima panggilan daripada adik-beradiknya sekitar 8.45 pagi yang memaklumkan penemuan mayat ayahnya.

Menurutnya, Allahyarham bapanya itu tinggal bersama ibu Sulasmi Jimam, 73, dan adik bongsu.

"Memang hampir setiap hari arwah ayah akan pergi menoreh ke kebun. Dia  tidak mengidap sebarang sakit kronik tetapi saya tidak menolak kemungkinan hentakan semasa jatuh motosikal ke kawasan cerun," katanya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan berdasarkan siasatan tidak terdapat sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.

0 Response to "Penoreh ditemui mati dalam semak"

Post a Comment