Lelaki ditemui mati dengan kesan kelar

AMPANG - Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditemui mati dengan kesan kelar di leher dalam kawasan semak di Jalan Enggang Timur 1, Taman Keramat, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, penemuan mayat mangsa dilaporkan  orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan pada jam 11 malam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati mayat lelaki dipercayai berusia awal 20-an itu, ditemui masih lengkap berseluar jeans dan t-shirt selain terdapat kesan cedera akibat dikelar di bahagian leher.

"Kita menjumpai kesan seperti diikat di kedua-dua pergelangan tangannya, selain kesan pergelutan.

"Kita percaya dia (mangsa) dibawa ke lokasi tersebut sebelum dibunuh di situ. Tiada sebarang senjata ditemui di lokasi dia dijumpai," katanya ketika dihubungi, semalam.

Khairuldin berkata, identiti mangsa juga masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri bersama mayatnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

0 Response to "Lelaki ditemui mati dengan kesan kelar"

Post a Comment