Kejar penjenayah dengan penyapu


KUANTAN - Satu keluarga di Rumah Pangsa Taman Galing, Lorong Sri Kuantan 65 dekat sini berhadapan detik cemas apabila mereka didatangi dua ‘tetamu’ tidak diundang yang bertanyakan nama jalan.

Menantu mangsa yang dikenali sebagai Khor, 34, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua kanak-kanak yang dijaganya berusia satu setengah tahun dan tujuh tahun di dalam bilik.

Menurutnya, dia dimaklumkan dua lelaki terbabit datang menemui bapa mertuanya berusia 68 tahun yang baru meletakkan kenderaan di kawasan parkir selepas pulang dari minum di sebuah  kedai makan.

Katanya, sebaik sahaja keluar dari kereta, dua lelaki terbabit bertanyakan arah jalan sebelum menolak bapa mertuanya masuk ke dalam rumah selepas pintu pagar  rumah dibuka.

“Salah seorang dari mereka mengeluarkan pistol dan mengacukan ke dahi bapa mertua saya tetapi tindakan menyebabkan dia menjerit meminta tolong.

Wanita itu berkata, terkejut dengan jeritan itu, ibu mertuanya berusia 56 tahun yang berada di ruang lain dalam rumah itu keluar untuk melihat kejadian yang berlaku.

“Ibu mertua yang terkejut dengan pistol diacu di dahi bapa mertua saya terus menjerit dengan sekuat hati menyebabkan dua lelaki berkenaan tiba-tiba hilang kawalan dan terus berlari keluar dari rumah.

Mendengar bunyi bising, katanya, dia menjenguk keluar dari bilik dan mendapati ibunya sedang mengejar dua lelaki itu dengan penyapu yang lari meninggalkan kereta di perkarangan rumah pangsa itu.

Bagaimanapun, katanya, dia memanggil ibu mertuanya supaya kembali ke rumah dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yussoff mengesahkan menerima laporan mengenai kes itu.

Beliau berkata, polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati sebuah kereta Produa Kancil yang dipercayai dipandu suspek ditinggalkan di hadapan rumah pangsa itu.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua butir peluru penabur tetapi mangsa tidak sempat mengambil barangan berharga.

“Polis tidak menolak kemungkinan senjata yang digunakan suspek adalah pistol palsu semata-mata menakutkan mangsa,” katanya.

Katanya, kereta kancil berkenaan di bawa ke IPD untuk siasatan lanjut dan polis giat mengesan suspek untuk siasatan selanjutnya.

0 Response to "Kejar penjenayah dengan penyapu"

Post a Comment