Tuesday, 28 January 2014
Berita
Bina kondo guna air curi
SUBANG – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menganggarkan pihaknya kerugian hampir RM240,000 berikutan kes kecurian air di kawasan pembinaan sebuah kondominium mewah di Ara Damansara dekat sini, sejak lebih setahun lalu.
Dalam serbuan mengejut dilakukan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) semalam, kontraktor utama dipercayai sudah menggunakan 104,000 meter padu air secara tidak sah bermula Mei 2012.
Pengarah Eksekutif Projek dan Bahagian Kadar Kehilangan Air Tanpa Hasil (NRW), Yusof Badawi berkata, kontraktor didapati melakukan sambungan haram tidak sah dari paip utama menggunakan paip jenis ‘high density poly ethylene’ berukuran 32 milimeter.
Pemeriksaan mendapati paip berkenaan tidak melalui meter Syabas yang sah dan ia disalur terus ke dalam tiga tangki simpanan berada di tapak pembinaan bagi kegunaan operasi harian.
Yusof berkata, semakan mendapati premis mempunyai akaun bekalan air yang sah dan aktif, bagaimanapun bacaan pada meter didapati meragukan apabila penggunaan air di premis rendah dan tidak sepadan dengan aktiviti pembinaan.
Ujian klorin dilakukan dan hasilnya mendapati bekalan air disambungkan ke tapak pembinaan enam blok apartmen 700 unit itu adalah dari bekalan air terawat Syabas.
Pihak Syabas mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan bagi membuat tuntutan ganti rugi kehilangan air kepada kontraktor tersebut.
Sambungan haram dipotong serta-merta petang semalam.
Menurut beliau, sebanyak 3,335 aduan diterima berhubung kes curi air sepanjang tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, 441 kes didapati sahih, berlaku kehilangan air sebanyak 4.07 juta meter padu yang menyebabkan kerugian sebanyak RM9.3 juta kepada Syabas.
Dari awal tahun hingga 23 Januari lalu pula, Syabas menerima 191 aduan berhubung kes curi air, sebanyak 20 kes didapati benar dan menyebabkan kerugian hampir RM206,000.
“Diharap tindakan penguatkuasaan diambil memberi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan sambungan air secara tidak sah kerana boleh menjejaskan sistem bekalan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata, pihak didapati bersalah perlu membayar tuntutan dan penalti dikenakan dalam tempoh 14 hari selepas notis dikeluarkan.
0 Response to "Bina kondo guna air curi"
Post a Comment