Saturday, 11 January 2014
Berita
Arwah tidak pernah balik siang
ALOR GAJAH - “Entah kenapa, arwah tiba-tiba mahu balik siang, sedangkan sebelum ini tidak pernah pun," kata Fauziah Aziz, 50, ibu kepada mangsa kemalangan membabitkan kematian empat beranak di Kilometer 75 Jalan Kuantan - Segamat, kelmarin.
Menurut Fauziah, biasanya anaknya, Fara Nor Asmira Jastan, 29, lebih selesa pulang ke kampung bersama suami, Nasrul Hafriq Nasaruddin, 29, serta dua anak mereka, Nasr Afeef Rifqy Nasrul Hafriq, 2, dan Fara Adelia Nasrul Hafriq, 3 bulan, pada waktu malam.
Bagaimanapun, sehari sebelum kejadian, anaknya itu menelefonnya dan memberitahu akan pulang ke Melaka untuk menghadiri majlis kahwin rakan mereka.
“Arwah Fara ada beritahu, suaminya malas hendak balik malam lagi. Biasanya, mereka akan pulang selepas Nasrul habis kerja," katanya yang memberitahu allahyarham Nasrul bekerja di Bank Simpanan Nasional (BSN) Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, katanya, pada hari kejadian, anaknya sekeluarga tidak muncul-muncul menyebabkan dia cuba menghubungi menerusi telefon.
“Saya tidak rasa pelik atau tidak sedap hati, cuma bila mereka lambat sampai, saya cuba hubungi arwah Fara dan Nasrul dalam jam 3.30 pagi. Bagaimanapun, kedua-dua telefon mereka tidak berjawab.
"Sehinggalah kira-kira jam 4.30 pagi, saya terima panggilan telefon dari seseorang meminta saya menuntut mayat," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, dekat kampung Panchor, di sini semalam.
Fauziah berkata, meskipun bekerja dan menetap di Kuala Terengganu, setiap bulan allahyarham anaknya akan pulang ke kampung halaman.
“Biasanya tak tentu sama ada arwah akan ke rumah saya atau ke rumah besan dahulu. Kedua-dua rumah dekat sahaja,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu allahyarham Fara Nor Asmira yang bekerja sebagai Pegawai Sains di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ketika mereka sekeluarga pulang meraikan majlis perkahwinan saudara, bulan lalu.
"Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma rakan sekerjanya ada beritahu yang dia kurang bercakap sejak kebelakangan ini,” katanya.
Jenazah keempat beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panchor, dekat sini, kira-kira 8.30 pagi semalam.
Sementara itu dalam kejadian 3 petang kelmarin, keempat beranak yang menaiki kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala Melaka.
Kereta mereka dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori, menyebabkan keempat-empat mangsa maut di tempat kejadian.
0 Response to "Arwah tidak pernah balik siang"
Post a Comment