10 kes peniaga naikkan harga


JOHOR BAHRU - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri menerima 10 aduan mengenai kenaikan harga barangan di pasaran, bagi bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Ayub Abd Rahman berkata, aduan terbabit diterima daripada orang awam yang membuat perbandingan sendiri terhadap caj yang dikenakan.

“Kita telah menerima sepuluh kes yang bukan sahaja membabitkan barangan basah tetapi harga mahal di restoran.

“Aduan ini bukan membabitkan barangan harga kawalan atau siling yang ditetapkan, namun lebih kepada perbezaan harga yang dinilai oleh pengguna.

“Kita sedang menyiasat perkara ini dan boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membawa hukuman RM100,000 bagi syarikat sendirian berhad dan RM50,000 bagi individu atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya yang ditemui ketika melancarkan Ops Harga 2.0 di Tampoi, semalam.

Ops Harga 2.0 dilancarkan serentak di seluruh negara mulai semalam turut membabitkan 150 pegawai penguat kuasa dan 105 pegawai pemantau harga dari negeri ini yang akan bergerak secara rawak ke seluruh daerah bagi membuat tinjauan.

Ayub berkata pihaknya telah menerima tiga kes membabitkan Akta Timbang dan Sukat 1972 dan tujuh kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Pada ops kali ini, kita tidak lagi mengenakan kompaun (RM100) kepada pesalah yang gagal mematuhi syarat jualan sebaliknya mengeluarkan kertas pendakwaan untuk ke mahkamah.

“Kita lihat tindakan ini lebih berkesan sekali gus memberi amaran tegas buat peniaga,” katanya.

Untuk rekod, PPDNKK negeri Johor berjaya  mengutip RM15,450 daripada 217 kes direkodkan  dalam tempoh Jun hingga Disember tahun lalu.

0 Response to "10 kes peniaga naikkan harga"

Post a Comment