Inilah anak ku, syurgaku.. bertangan satu


“Buat apa waktu mengandung?” Allah! Soalan apakah ini yang datang dari bibir merah menyala jururawat yang layak saya panggil emak ini. Masih dalam dewan... 
“Buat apa waktu mengandung?” 
Allah! Soalan apakah ini yang datang dari bibir merah menyala jururawat yang layak saya panggil emak ini. Masih dalam dewan bersalin dan belum pun sempat saya menatap wajah cahaya mata pertama saya yang amat dinantikan, sudah diasak dengan soalan sebegini. ‘Ujian apakah ini Tuhan?’
Comelnya! Doktor meletakkan si kecil bertangan satu di atas dada saya. Walaupun engkau hanya bertangan satu, engkau tetap jantung hati ibu wahai anakandaku. Menitis air mata tanpa sedar saat hadiah dari syurga ini diazankan oleh ayahandanya. Ibu tahu Allah SWT mahu berikan lebih dari seorang cahaya mata kepada ibu. Lebih dari itu. Ibu tahu. Ibu sangat pasti.
Wahai anakandaku, walau engkau bertangan satu, engkau tetap jantung hati ibu.
Kini anakanda saya sudah berumur 14 tahun dan membesar dengan positif. Saya dan suami amat gembira melihat perkembangannya dan kami juga bersyukur kerana tidak mengikut apa segelintir masyarakat mahukan. Membesarkan anak istimewa di persekitaran Malaysia yang masyarakatnya masih kuat dicengkam adat dan budaya bukanlah sesuatu yang mudah.
Adanya anak istimewa ibubapa dihukum masyarakat sebagai balasan masa silam. Adanya anak istimewa ibubapa disabit kejadian kenan ketika mengandung. Adanya anak istimewa ibu-ibu mengandung takut mendekati anak syurga kita ini. Adanya anak istimewa ibubapa anak-anak normal agak sukar melepaskan anak mereka bermain bersama. Adanya anak istimewa masyarakat skeptikal atas kemampuan anak syurga ini.
Anakanda saya disarankan mengikuti kelas khas sewaktu pendaftaran kemasukan ke darjah satu walapun tidak punya sebarang komplikasi mental yang mengganggu pembelajaran. Sewaktu beratur hari pertama persekolahan ditendang rakan sebaya kerana tidak dibenarkan beratur bersama, di hadapan saya. Ibu mana yang dapat menahan air mata dari gugur.
Bermain di taman permainan, anak-anak kecil bermain gembira tetapi ibubapa mereka pula berbeza. Alam persekolah juga tidak kurang cabarannya. Anak istimewa kadangkala tidak berpeluang terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan dan kurikulum kerana guru-guru bimbang sesuatu yang buruk berlaku. Ini sekadar contoh yang dapat saya kongsikan berdasarkan pengalaman saya bersama anak syurga saya ini.

3 Asas Kekal Positif Kepada Ibubapa Anak Syurga

Asas #1 – Keluar dari denial stage secepat mungkin. Terima kenyataan, ‘Ya, anak aku OKU’.
Asas #2 – Tewaskan diri sendiri sebelum anda mahu menewaskan orang lain. Kalau anda masih ada rasa ragu, malu dan sebagainya dengan kurniaan Allah swt yang maha hebat ini makanya masih banyak tugasan hati yang perlu anda lakukan. Jadinya jangan mimpi anda boleh kebal dengan persekitaran negatif jika kurang yang ini.
Asas #3 – Usah bezakan anak OKU dan tidak OKU. Ini cara membaja motivasi dan membina keyakinan diri dalam diri anak kita.
“The only disability in life is a bad attitude”.
Sesungguhnya perancangan manusia itu baik tetapi perancangan Allah swt adalah lebih baik Ibubapa anak istimewa adalah insan hebat dan terpilih. Melalui mereka Allah SWT kirimkan 7 ilmu hebat yang tidak dapat dilalui oleh insan biasa.

7 Ilmu Hebat Melalui Anak Syurga Kepada Ibubapa

#1 Penyucian Hati – Anak istimewa ini memberi kesedaran besar kepada ibubapa tentang besarnya kuasa Allah SWT. Kita hanya merancang. Semua orang mahukan kesempurnaan, anak yang cukup sifat. Tetapi perancangan Allah SWT adalah lebih baik. Anak istimewa menyucikan hati ibubapa dari perasaan riak.
#2 Mengenal Hati Budi – Anak istimewa ini ibarat mesin pengesan hati budi manusia. Melalui mereka Allah SWT tunjukkan pelbagai karektor manusia, baik, buruk, tulus ikhlas, pura-pura dan bermacam-macam lagi. Jangan dilupakan karektor kita sendiri sebagai ibubapa anak istimewa. Mereka dapat merasa setakat mana keikhlasan kita.
#3 Ukhwah – Betapa indahnya ukhuwah adik beradik bila mana saya diberi peluang oleh Allah SWT melihat bagaimana anak-anak saya yang sempurna sifat menjaga dan membantu abang mereka. Begitu juga sokongan keluarga dan sahabat handai.
#4 Cekal & Tabah – Allah swt kirimkan ilmu cekal dan tabah melalui anak istimewa. Hanya ibubapa yang sabar, cekal dan tabah dapat mengemudi anak istimewa. Mereka ini lahir dengan pelbagai keistimewaan yang perlu ditangani dengan baik oleh ibubapa. Bukan sekadar tingkah laku tetapi juga hal-hal lain yang bersangkutan seperti pembelajaran, kewangan dan sebagainya.
#5 Usaha, Usaha & Usaha – Anak istimewa juga mengajar ke dua ibubapa supaya tidak mengenal erti jemu berusaha. Sebaliknya berlipat ganda dari hari ke hari. Setiap kesukaran pasti ada jalan penyelesaiannya. Ibubapa anak yang normal melalui rutin harian dan cabaran yang lebih kurang sama setiap hari, tetapi tidak bagi ibubapa anak istimewa.
Sebagai contoh, saya mengambil masa beberapa tahun untuk merealisasikan hajat anak saya untuk memakai tangan palsu yang dapat bergerak atau dipanggil myo-electric arm. Dengan kos puluhan ribu ringgit saya hampir berputus asa. Beratus-ratus surat permohonan memohon sokongan kewangan dari badan kerajaan, NGO dan swasta saya layangkan. Semuanya gagal. Ketika saya pasrah tiba-tiba muncul seorang dermawan yang sudi menaja sebahagian dari kos tangan palsu tersebut. Menitis lagi air mata kegembiraan saya tanpa sedar. Syukur Ya Allah!
#6 Berfikir Di Luar Kotak – Melalui anak istimewa juga ibubapa dilatih gigih, kreatif dan inovatif dalam memastikan anak syurga mereka boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan anak-anak yang normal serta punya tahap keyakinan diri yang tinggi. Permohonan saya untuk memasukkan anak syurga saya ini ke sekolah aliran Cina ditolak mentah-mentah oleh pihak sekolah atas alasan tidak punya latar belakang Mandarin.
Saya mohon diberi peluang selama 3 bulan sahaja kepada anak saya, jika anak saya tidak mampu saya berjanji untuk keluarkan beliau dari sekolah tersebut. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Anak syurga saya merupakan satu-satunya anak Melayu Muslim di kelas pertama dan kini fasih berbahasa Mandarin.

Saya bangga kini anakanda saya mahir menunggang kuda!
#7 Tiada Yang Mustahil –Anak istimewa mengajar ke dua ibubapa tentang tiada istilah mustahil dan putus asa. Yang penting kita yakin dan percaya dengan apa yang kita lakukan. Anak saya kurang berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan di sekolah. Jadinya saya tidak membiarkan perkara itu sebagai satu halangan untuk anak saya.
Alhamdulillah dengan izin Allah SWT saya ditemukan dengan insan hebat seorang guru yang juga seorang jurulatih kuda. Beliau menerima anak syurga saya ini tanpa prejudis tanpa mempersoalkan kemampuan anak saya. Gerak hati ibu jarang tersasar, saya bangga kini anakanda saya mahir menunggang kuda. Ini juga menambah keyakinan diri beliau.
Sekian sahaja coreta pengalaman peribadi saya yang tidak seberapa. Didoakan ianya dapat memberi semangat dan panduan khasnya kepada ibubapa muda di luar sana yang punya anak istimewa. Berserahlah pada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh diiringi usaha dan doa. Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.-
NOR AZURA ABDULLAH · 19 DEC 2014

0 Response to "Inilah anak ku, syurgaku.. bertangan satu"

Post a Comment