Dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut manakala dua lagi cedera apabila kereta kebal milik ATM terbalik di Kilometer 232 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Kuala Kangsar.
Kereta perisai berkenaan terbabas dan terbalik kira-kira pukul 6.40 petang tadi, memetik laporan Harian Metro.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada orang ramai pada pukul 6.46 petang.
Difahamkan, ketika kejadian kenderaan itu gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar konkrit pembahagi lebuh raya sebelum terbalik di bahu kiri jalan.
Menurut sumber, dua anggota yang meninggal dunia dikenali sebagai Sarjan Bayong A/L Burma dan Koperal Che Muhammad Fatanah Che Ismail Mohd, 31, manakala anggota yang cedera ialah pemandu kereta perisai dikenali sebagai Lans Koperal Freedy A/L Banabas, 29, dan Koperal Mohd Syarifudin Abdullah, 36.
Kelmarin, sebuah bas ekspres yang juga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terbalik tidak jauh dari kawasan kereta perisai terbalik iaitu di Kilometer 234 lebuhraya yang sama.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, bas yang dalam perjalanan dari Kamunting ke Kuala Lumpur itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
Rempuhan kuat itu mengakibatkan bas dua tingkat itu masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, keadaan bas yang terbalik mengakibatkan lorong kiri laluan terhalang dan berlaku kesesakan.
0 Response to "Dua Anggota Tentera Maut, Kereta Kebal Terbalik"
Post a Comment