Sepang: Seorang pembantu rumah warga Filipina dilayan bagai ‘selebriti’ apabila dia disahkan sebagai penumpang pertama yang mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini malam kelmarin.
Lebih manis, Gemma Camarinta, 39, turut menerima kalungan bunga dan ucapan tahniah sebelum diraikan beberapa kenamaan termasuk Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi; Pengerusi Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad di kaunter daftar masuk jam 10.20 malam.
Gemma turut menjadi tumpuan lensa kamera malah, diserbu wartawan yang hadir bagi menemubualnya kerana menjadi individu pertama mendaftar masuk di klia2 pada hari bersejarah itu.
Dia yang ditemani adiknya Nezell Camarinta, 37, berlepas ke Manila, Filipina menggunakan pesawat syarikat penerbangan Cebu Pacific Airways 5J502 kira-kira jam 3.30 pagi semalam.
Gemma yang ditemui berkata, dia akui teruja dan terkejut serta tidak menyangka diisytiharkan sebagai penumpang pertama yang mendaftar masuk di klia2.
Menurutnya, dia juga memuji kemudahan di klia2 yang disifatkannya cukup selesa bagi sebuah terminal penerbangan tambang murah.
“Saya kerap menggunakan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sebelum ini, namun kemudahan di klia2 jauh lebih baik dan selesa.
“Malah, saya turut mengggunakan kemudahan Express Rail Link (ELR) untuk ke sini tadi (malam kelmarin),” katanya yang akan pulang bercuti ke kampung halamannya di Bohol, Manila.
0 Response to "Pembantu rumah jadi ‘selebriti’"
Post a Comment