SELEPAS 17 tahun hidup sebagai salah seorang buruan polis yang paling dikehendaki di Jepun, Makoto Hirata akhirnya bercadang untuk menyerah diri pada tahun 2012.
Hirata merupakan salah seorang ahli kumpulan pelampau agama ‘Aum Supreme Truth’ yang terlibat dalam serangan gas sarin keretapi bawah tanah di Tokyo pada tahun 1995.
Serangan yang dianggap sebagai terburuk di Jepun itu menyebabkan 12 orang terbunuh, manakala 6,000 orang lagi jatuh sakit.
Namun, bukan mudah untuk Hirata menyerah diri apabila niatnya itu dianggap sebagai gurauan.
Pada mulanya, dia cuba pergi ke ibu pejabat polis Osaki yang menyiasat mengenai aktiviti kumpulan itu, namun tidak dapat menemui anggota polis yang bertugas pada hari itu.
Dia kemudiannya menuju ke Kasumigaseki untuk ke Pejabat Polis Metropolitan Tokyo untuk meneruskan niatnya menyerah diri.
Bagaimanapun, pegawai yang bertugas tidak mahu mempercayainya dan menganggap dia cuba mengenakan mereka.
Pegawai itu kemudiannya mengarahkan Hirata supaya ‘mencuba nasib’ di sebuah balai polis kecil di Marunoichi.
Di sanalah identitinya dikesan dan penjenayah itu segera ditahan.
Peristiwa itu secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepada pihak polis Metropolitan Tokyo kerana ia menunjukkan ketidakcekapan mereka dalam menahan penjenayah walaupun Hirata sudah rela hati menyerah diri.
Tambahan pula, ketika ditahan, fizikalnya juga tidak banyak berubah walaupun sudah berusia 46 tahun kecuali rambutnya yang sedikit panjang.
Pada masa yang sama, polis percaya, tindakannya menyerah diri itu ada kaitan dengan kematian ibunya yang cukup rapat dengannya.
0 Response to "Fakta Kejadian Menarik Melibatkan Seorang Pelampau Agama Jepun"
Post a Comment